TAWAU: Seorang Inspektor polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia dijanjikan untuk diletakkan sebagai saksi terlindung sekiranya mengaitkan bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Senior Asisten Komisioner (B) Datuk Mat Zaki Md Zain, dengan kes pembunuhan pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61, tiga tahun lalu.
Inspektor Usman Lanaga, 46, turut mendedahkan kepada mahkamah bahawa beliau juga dijanjikan untuk diletakkan di jawatan yang beliau kehendaki sekiranya mengubah keterangannya.
“Saya menolak sekerasnya dan mengatakan bahawa keterangan yang telah saya berikan adalah benar,” katanya di hadapan Hakim Steve Ritikos.
Usman berkata bahawa semasa siasatan dijalankan, polis juga memeriksa telefon bimbitnya habis-habisan, namun tidak menjumpai apa-apa maklumat atau perbualan yang menunjukkan penglibatan dirinya dalam kes yang disiasat.
Ketika ditanya semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Zetty Zurina Kamarudin, Usman mengakui mengetahui haknya sebagai pegawai polis namun tidak pernah membuat laporan polis berhubung perkara itu, termasuklah dakwaan ‘ugutan’ terhadapnya.
SFC: Sila rujuk kenyataan saksi… tuan telah menyatakan bahawa tuan telah ditekan-tekan berkaitan kes pembunuhan pemandu e-hailing dan pegawai-pegawai polis yang menyoalsiasat tuan telah menekan-nekan tuan untuk bercakap bahawa Datuk Zaki yang membunuh dan tuan akan diletakkan sebagai saksi pelindung. Setuju?
Saksi: Setuju.
SFC. Saya katakan dakwaan tuan berkaitan “tawaran saksi terlindung” dan “pertukaran jawatan” yang dinyatakan adalah tidak benar?
Saksi: Tidak setuju.
Menjawab soalan lain, saksi mengakui tidak mengingati nama pegawai polis yang didakwa menawarkan beliau menjadi “saksi terlindung”, namun tidak bersetuju dengan cadangan bahawa tawaran itu tidak pernah dibuat.
Usman juga menjelaskan bahawa beliau tidak membuat laporan polis pada ketika itu kerana berasa tertekan, trauma serta bimbang akan keselamatan dirinya.
Semasa pemeriksaan semula oleh peguam plaintif, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Usman berkata jawapan beliau berkaitan “tawaran saksi terlindung” dan “pertukaran jawatan” adalah benar dan dakwaan tersebut bukanlah rekaan semata-mata.
Perbicaraan bersambung esok.



