HomeUtamaSabah tuan tumah IJMAM peringkat kebangsaan September ini

Sabah tuan tumah IJMAM peringkat kebangsaan September ini

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tuan rumah Ijtimak Amal Islami Mualaf Madani (IJMAM) Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada September ini, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan negeri itu menganjurkan program pembangunan ilmu dan ukhuwah dalam kalangan saudara baharu.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah merupakan satu penghormatan serta tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh komitmen oleh semua pihak.

Beliau berkata, peserta yang akan mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan perlu membuat persediaan rapi dan memanfaatkan pengalaman yang diperoleh sepanjang penganjuran IJMAM Peringkat Negeri Sabah sebagai bekalan menghadapi pertandingan tersebut.

“Saya berharap para peserta yang terpilih nanti dapat membuat persediaan sebaik mungkin dan memberikan yang terbaik dalam membawa nama negeri Sabah serta gunakanlah pengalaman yang diperoleh sepanjang IJMAM Peringkat Negeri Sabah sebagai bekalan menghadapi peringkat kebangsaan nanti.

“Insya-Allah, dengan semangat kerjasama dan komitmen semua pihak, saya yakin Negeri Sabah mampu menjadi tuan rumah yang baik dan dapat menjayakan IJMAM Peringkat Kebangsaan dengan lancar dan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian, Penutupan dan Penyampaian Hadiah Ijtimak Amal Mualaf Madani Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos itu menghimpunkan seramai 155 peserta dalam kalangan saudara baharu yang mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan, antaranya Tilawah al-Quran, Hafazan, Azan dan Iqamah, Nasyid serta Pertandingan Video Kreatif.

Selain pertandingan, pelbagai aktiviti riadah dan sukan turut diadakan bagi mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan peserta.

Menurut Isnin, program seumpama itu bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat dan meningkatkan kefahaman agama, malah membuka ruang kepada peserta untuk membina persahabatan baharu, saling bertukar pengalaman serta mengukuhkan ukhuwah sesama saudara seagama.

“Saya percaya program ini memberikan banyak pengalaman selain mewujudkan persahabatan baharu, saling mengenali, bertukar pengalaman dan mengeratkan lagi hubungan sesama saudara seagama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penganjuran IJMAM wajar diteruskan dan diperluaskan kerana mampu memberi manfaat yang besar kepada masyarakat, khususnya golongan saudara baharu.

“Program ini merupakan satu inisiatif yang baik untuk mengangkat dan mengiktiraf sahabat-sahabat kita dan saudara baharu. Dalam masa yang sama, mereka juga berpeluang mendalami ilmu agama melalui pelbagai pertandingan yang dianjurkan,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Anjung Pendidikan Penampang (APEN) dinobatkan sebagai johan keseluruhan pertandingan selepas mencatatkan prestasi cemerlang dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Awang Juri Ag Tahir dan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu@Aziz Jaafar.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Sabah fail saman lebih RM2 bilion terhadap EY berhubung audit...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular