TAWAU: Dua lelaki warga asing ditahan selepas polis merampas 31.32 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM3,120 dalam dua serbuan berasingan di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Rosdi Mat Jusoh, berkata serbuan menerusi Op Tapis itu dijalankan di kawasan Tanjung Baru Laut dan Kampung Hidayat Batu 4.
Katanya, dalam serbuan pertama kira-kira jam 12.20 tengah hari di tepi Jalan Tanjung Baru Laut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), IPD Tawau menahan seorang lelaki warga asing berusia 50-an yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.40 gram,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Sementara itu, dalam serbuan kedua kira-kira jam 7 malam di kawasan Kampung Hidayat Batu 4, polis menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 40-an selepas pemeriksaan menemukan lapan paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 30.92 gram dengan nilai anggaran RM3,090.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” jelasnya.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang daripada mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Tegas ACP Rosdi, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah. Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memastikan sindiket dadah ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.



