HomeUtamaTanaman organik bantu jamin keterjaminan makanan, kesihatan masyarakat – Jamawi

Tanaman organik bantu jamin keterjaminan makanan, kesihatan masyarakat – Jamawi

Read Time:1 Minute, 51 Second

TENOM: Penggunaan teknologi penanaman secara organik perlu diperkasakan bagi menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan tahap kesihatan masyarakat, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat terhadap kesihatan dan sumber makanan yang diambil semakin meningkat, sekali gus menjadikan pengeluaran hasil pertanian organik semakin penting.

“Sekiranya lebih banyak perladangan organik kita giatkan, ia bukan sahaja menjamin keterjaminan makanan, malah kesihatan yang lebih baik serta memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap sumber makanan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Kursus Transformasi Teknologi Perladangan Organik 2.0 di Dewan SJK (C) Chung Hwa, di sini, hari ini.

Jamawi berkata, kursus berkenaan bukan sahaja disertai peserta dari Tenom, malah turut menarik penyertaan dari Keningau, Nabawan, Kudat dan kawasan lain bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kaedah penanaman organik.

“Ini merupakan antara langkah Jabatan Pertanian untuk memperkasakan tanaman organik. Kita juga sedang menyusun beberapa ladang di Tenom untuk melaksanakan tanaman organik supaya hasilnya dapat menjadi sumber makanan kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, pensijilan myGAP turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan, termasuk mengurangkan penggunaan racun serta baja kimia.

Beliau berkata, enam lagi ladang menerima pensijilan myGAP, menunjukkan pengusaha berkenaan memenuhi standard ditetapkan bagi memastikan hasil pertanian selamat untuk dimakan.

“Kalau kita dapat lagi myOrganic, ia menjadi bonus kepada ladang berkenaan untuk memasarkan hasil. Bagaimanapun, terdapat pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi untuk mendapatkan pensijilan myOrganic.

“Sebab itu kita adakan kursus ini supaya pengusaha dan mereka yang terlibat lebih memahami kaedah melaksanakan myOrganic dengan sebaik-baiknya di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi menyeru pengguna supaya menghargai hasil pertanian yang disahkan organik, termasuk bersedia membayar harga sedikit lebih tinggi berbanding produk konvensional.

Katanya, harga produk organik yang lebih tinggi antara lain disebabkan proses pensijilan serta kos tambahan yang perlu ditanggung pengusaha bagi memenuhi standard ditetapkan.

“Kalau kita mementingkan kesihatan, tidak salah membelanjakan sedikit lebih untuk mendapatkan produk daripada ladang yang disijilkan sebagai myOrganic,” katanya.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap, Maria David Edick; Pengarah Jabatan Pertanian, Jackson R. Raimi; Pegawai Pertanian Daerah Tenom, Ts. Mohammad Fauzi Ab Gulam; Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah, Dr. Teddy Marshall Denis; Ketua Daerah OKK Tusip Tulas; Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Denesly Justin serta pegawai jabatan dan agensi MAFFI.

RELATED ARTICLES
Utama

Pembuat Wain Ukraine Intai Pasaran Sabah, Tawar Anggur Bermutu Untuk Pelancong...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular