KOTA KINABALU: Sebanyak 66 notis kesalahan dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 178 premis menerusi tiga operasi penguatkuasaan Ops Paru-Paru (Ops PaPa) di sekitar bandar raya ini.
Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu berkata, operasi berasingan yang dijalankan pada 28 Julai serta 4 dan 6 Ogos lalu itu memberi tumpuan kepada pematuhan larangan merokok di tempat makan, kompleks beli-belah dan bangunan tempat kerja.
Menurutnya, daripada keseluruhan premis yang diperiksa, 172 adalah tempat makan, manakala selebihnya membabitkan kompleks beli-belah dan bangunan tempat kerja.
Operasi berkenaan melibatkan seramai 59 anggota terdiri daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP), Pembantu Kesihatan Awam (PKA) serta anggota sokongan lain.
Antara kawasan yang menjadi tumpuan penguatkuasaan ialah Kepayan, Jalan Lintas, Damai, 88 Marketplace dan Jesselton Quay, selain beberapa kompleks beli-belah termasuk Suria Sabah, Karamunsing Mall serta Asia City.
Menurut pejabat berkenaan, antara kesalahan yang dikesan ialah merokok di kawasan larangan, kegagalan pemilik atau penghuni premis mempamerkan papan tanda larangan merokok mengikut spesifikasi ditetapkan serta kegagalan memastikan tiada individu merokok di dalam premis.
Sehubungan itu, pemilik premis dan orang ramai dinasihatkan supaya memahami keperluan di bawah Akta 852 serta kawasan larangan merokok yang diwartakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Orang ramai turut diingatkan bahawa kawasan awam seperti kaki lima di kawasan kedai juga merupakan tempat larangan merokok.
“Operasi pemantauan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap kesihatan awam dan keselamatan pengguna sentiasa terjamin,” katanya.



