KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal mempergiat pelaksanaan pelbagai inisiatif infrastruktur digital bagi memperluas dan memperkukuh capaian internet di Sabah.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) serta penggunaan teknologi internet satelit terus ke telefon bimbit menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2.
Beliau berkata, pelaksanaan JENDELA Fasa 2 akan merangkumi lebih 300 lokasi di Sabah, selain jumlah yang sama di Sarawak dan Semenanjung.
“Bagi memperluas liputan internet, pelaksanaan JENDELA Fasa 2 akan dimulakan tidak lama lagi merangkumi lebih 300 lokasi di Semenanjung, 300 di Sarawak dan 300 di Sabah.
“Pendekatan baharu akan digunakan bagi kawasan terpencil dengan memanfaatkan internet satelit berbanding pembinaan menara pemancar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Menurut Fahmi, penggunaan teknologi satelit dilihat lebih praktikal bagi kawasan terpencil berikutan pembinaan menara pemancar lazimnya mengambil tempoh yang panjang serta berdepan pelbagai kekangan.
“Kita lihat pemasangan menara mengambil masa hampir dua tahun dan banyak masalah.
“Jadi untuk kawasan yang lebih terpencil dan ada penduduk, kita menggunakan strategi yang berbeza kali ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata ujian Proof of Concept (POC) bagi program Direct-to-Device (D2D) turut akan dilaksanakan di bawah JENDELA Fasa 2.
Katanya, teknologi berkenaan membolehkan pengguna menerima capaian internet satelit secara terus ke telefon bimbit tanpa bergantung sepenuhnya kepada infrastruktur menara telekomunikasi konvensional.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Komunikasi turut memperkenalkan Inisiatif SALAM yang membabitkan pembangunan kabel dasar laut bagi menghubungkan beberapa lokasi strategik di Malaysia, termasuk di Sabah.
Menurutnya, projek itu akan menghubungkan Sedili, Kuching, Miri, Tanjung Aru, Sandakan dan Tawau bagi menyediakan capaian internet yang lebih pantas dan berpatutan.
“ Sebelum ini, ‘landing point’ adalah di Tanjung Aru berdekatan dengan Kota Kinabalu. Tapi kita dapati kita perlu pasang kabel dasar laut di pesisir pantai hinggalah ke Tawau.
“Jadi ini satu inisiatif baharu yang kita percaya amat bermakna untuk juga membangunkan ekonomi digital di negeri Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata usaha menangani jenayah dalam talian turut diperkasakan susulan peningkatan penggunaan akaun palsu bagi menjalankan pelbagai aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Beliau berkata MCMC telah mengesan lebih 2,000 akaun palsu di seluruh negara dalam tempoh lima hingga enam minggu kebelakangan ini.
Katanya, akaun berkenaan dipercayai digunakan untuk menyebarkan berita palsu, kandungan berkaitan 3R, selain aktiviti penipuan (scam) dan perjudian dalam talian.
“Angka 2,000 itu adalah bagi seluruh negara, tapi kita lihat tidak mustahil akaun-akaun palsu juga banyak beroperasi di Sabah.
“Saya telah memaklumkan kepada Tun Musa bahawa pihak MCMC akan melipatgandakan usaha untuk membanteras akaun-akaun palsu, terutama yang dibangunkan dan diwujudkan untuk melakukan aktiviti jenayah dalam talian,” katanya.
Fahmi berkata usaha memperkukuh infrastruktur digital dan pada masa sama membendung penyalahgunaan teknologi adalah penting bagi memastikan manfaat transformasi digital dapat dinikmati masyarakat secara lebih menyeluruh dan selamat.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.



