KOTA KINABALU: Pemain industri pelancongan di Sabah digalakkan meneroka peluang baharu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong pembangunan sektor pelancongan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan pemain industri amat penting dalam memperkukuh ekosistem pelancongan, selain meningkatkan daya tarikan Sabah sebagai destinasi pilihan.
“Syarikat pelancongan perlu terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan yang berdaya saing dan mampan, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Sedco Travel & Tours yang diketuai Pengerusinya, Mohd Shukor Mumin, di pejabatnya, di sini, hari ini.
Dalam kunjungan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan semasa syarikat serta potensi untuk memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
Ini juga termasuk usaha memperluas perkhidmatan yang mampu memberi nilai tambah kepada Sabah.



