KOTA KINABALU: Kumpulan DESA mahu memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah dalam usaha memperluas pembangunan sektor pertanian, penternakan serta industri agro-makanan negeri.
Pengerusi Kumpulan DESA, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar sudah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan DESA, khususnya dalam bidang pertanian dan penternakan serta sektor lain yang berkaitan.
Menurutnya, kesediaan kedua-dua pihak menjalinkan kerjasama itu merupakan perkembangan positif yang boleh membuka ruang kepada perancangan dan pelaksanaan lebih banyak inisiatif dalam sektor berkenaan.
“DESA berharap agar kerjasama yang lebih erat dapat dijalinkan bersama Kementerian Pertanian, khususnya dalam bidang pertanian, penternakan serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan sektor pertanian,” katanya.
Liew berkata, sebagai syarikat berkaitan kerajaan negeri, DESA bersedia memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong usaha kerajaan Sabah membangunkan sektor pertanian dan penternakan sebagai antara komponen penting ekonomi negeri.
Katanya, kerjasama strategik antara DESA dan kementerian juga boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti bidang yang mempunyai potensi untuk dikembangkan, khususnya yang mampu memperkukuh rantaian pengeluaran serta industri agro-makanan Sabah.
Beliau berkata, usaha itu penting bukan sahaja dari sudut pembangunan sektor pertanian, malah dalam memperkukuh ekosistem pengeluaran makanan negeri dan membuka ruang kepada aktiviti ekonomi berkaitan.
Kerjasama lebih tersusun antara kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan juga dilihat mampu mewujudkan sinergi dalam pembangunan sektor berkenaan, terutama dalam memastikan potensi pertanian dan penternakan Sabah dapat dimanfaatkan dengan lebih menyeluruh.
DESA berharap hubungan dengan kementerian berkenaan dapat diperkukuh dari semasa ke semasa, termasuk meneroka peluang baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada industri pertanian dan penternakan negeri.
Langkah itu juga sejajar dengan usaha memperkukuh sektor agro-makanan Sabah agar terus berkembang dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.



