Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Skuad pencak Silat Sabah menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya lima pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, sekali gus memperbaiki pencapaian pada temasya di Sarawak dua tahun lalu.
Yang Dipertua Persatuan Seni Silat Pesaka Sabah (PESAKA), Datuk Alijus @ Mohd Ali Sipil berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan persiapan rapi yang dilaksanakan atlet serta prestasi positif yang ditunjukkan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini.
Beliau berkata, seramai 29 atlet bersama enam pegawai termasuk seorang pengurus pasukan akan membawa cabaran Sabah dalam pertandingan silat pada temasya berkenaan.
“Persiapan yang kita telah buat agak rapi dan beberapa siri perlawanan persahabatan telah dilalui di Perlis dan Indonesia.
“Setakat perlawanan-perlawanan persahabatan itu, keputusan yang diperoleh agak baik dan insya-Allah kita memang ada sasaran lima pingat emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghantar skuad pencak silat Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi menyertai SUKMA Selangor 2026 di sini pada Rabu.
Menurutnya, pencapaian melebihi lima pingat emas akan dianggap sebagai satu bonus, namun pasukan akan berusaha memberikan prestasi terbaik bagi meningkatkan pencapaian berbanding edisi sebelum ini.
Alijus berkata, pada SUKMA Sarawak, pasukan silat Sabah berjaya meraih empat pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.
“Di Sarawak ketika itu kita mencapai empat emas, tiga perak dan tiga gangsa. Itu pencapaian di Sarawak jauh lebih baik daripada pencapaian sebelumnya di Negeri Sembilan.
“Jadi kali ini kita cuba mencapai sasaran lima pingat emas dan saya berkeyakinan, berdasarkan perkembangan latihan para atlet dan jurulatih, insya-Allah kita dapat mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa kategori telah dikenal pasti sebagai sasaran utama untuk menyumbang pingat emas bagi kategori tanding dan seni.
Katanya, skuad pencak Silat Sabah akan mengambil bahagian dalam keseluruhan 23 acara pada pertandingan silat kali ini.
Pertandingan pencak silat SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 14 hingga 19 Ogos ini.
Alijus turut berharap skuad silat Sabah mampu menyumbang pingat emas bagi membantu kontinjen negeri mencapai sasaran keseluruhan 40 pingat emas pada temasya kali ini. – SABAH MEDIA



