HomeUtamaMiliki hampir 200 iPhone tidak diperakui untuk dijual, dua ahli perniagaan didenda

Miliki hampir 200 iPhone tidak diperakui untuk dijual, dua ahli perniagaan didenda

Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Dua ahli perniagaan warga China masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki telefon bimbit iPhone yang tidak diperakui dengan tujuan untuk dijual.

Adik-beradik Yang Weilong, 25, dan Yang Junjie, 31, masing-masing membuat pengakuan di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal dan Hakim Marlina Ibrahim.

Weilong didenda RM30,000 atau sembilan bulan penjara jika gagal membayar denda kerana memiliki memiliki kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui dengan tujuan untuk menjualnya iaitu 123 unit iPhone 8 model A1863 kira-kira jam 10.38 malam pada 3 Ogos lalu di Balai Pelepasan A7, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Sementara itu, Junjie dikenakan denda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan kerana memiliki 74 telefon bimbit iPhone pelbagai model yang tidak diperakui dengan tujuan untuk dijual pada masa dan tempat yang sama.

Kedua-duanya didakwa mengikut Peraturan 16(1)(d) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 16(3) peraturan sama.

Peruntukan itu membawa hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat daripada anggota bertugas di KKIA mengenai dua warga China yang mahu menaiki penerbangan Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur dan didapati memiliki telefon bimbit dalam kuantiti yang banyak.

Bertindak atas maklumat itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kota Kinabalu pergi ke pintu masuk Balai Pelepasan A7 sebelum kedua-dua lelaki bersama dua bagasi dan dua beg sandang dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil untuk siasatan.

Hasil siasatan mendapati kedua-duanya gagal memberikan keterangan mengenai pemilikan ratusan telefon bimbit yang ditemukan bersama mereka.

Fakta kes turut mendedahkan bahawa iPhone berkenaan tidak mempunyai E-COMM SIRIM.

Pendakwaan kes Weilong dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadzri Azham Zainudin manakala kes Junjie dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dk Afiqah Alya Ak Johari @ Pg Johari.

Peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman yang mewakili kedua-dua tertuduh.

RELATED ARTICLES
Utama

SUKMA XXII : Sabah perlu bangkit, wajib menang ke atas Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular