KOTA KINABALU: Ekspo Antarabangsa Sabah 2026 (SIE2026) dijangka menjadi platform perdagangan dan pelaburan terbesar di negeri ini apabila menghimpunkan lebih 30,000 pelawat perdagangan, delegasi, peserta serta pengunjung awam dari 15 negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini bermula dari 2 hingga 6 September depan.
Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Sabah, Datuk Susan Chang berkata, penganjuran SIE2026 merupakan antara inisiatif utama MICCI Sabah bagi tahun ini dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab perdagangan dan pelaburan yang semakin berkembang di rantau ini.
Beliau memaklumkan perkara itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu pertemuan yang turut membincangkan persiapan serta pengisian program sepanjang ekspo berkenaan.
Menurut Susan, SIE2026 akan menampilkan pelbagai program dan aktiviti yang dirangka khusus bagi memudahkan jaringan perniagaan, mempromosikan peluang perdagangan dan pelaburan, menggalakkan kerjasama industri serta mengetengahkan potensi ekonomi Sabah kepada pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa.
“Ekspo ini bukan sahaja menjadi platform untuk syarikat dan pelabur meneroka peluang baharu, malah berperanan sebagai medan memperkukuhkan hubungan perniagaan rentas sempadan serta merancakkan aktiviti ekonomi negeri,” katanya.
Antara acara utama yang bakal berlangsung sempena SIE2026 ialah Persidangan Perdagangan, Pelaburan dan Halal BIMP-EAGA Ke-3, Sabah International Business Luncheon Talk 2026 (SIBLT2026) serta Majlis Makan Malam Selamat Datang SIE2026 yang akan dihoskan oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Susan berkata, negara yang dijangka mengambil bahagian dalam ekspo berkenaan termasuk Australia, Brunei Darussalam, China, Denmark, Finland, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia (Semenanjung), Filipina, Poland, Singapura, Thailand dan Zambia.
Beliau turut menegaskan bahawa MICCI Sabah terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan kerjasama ekonomi serantau menerusi inisiatif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), yang mewakili pasaran berpotensi sekitar 80 juta penduduk.
Sementara itu, Hajiji memuji MICCI Sabah atas peranan proaktifnya dalam menyokong pertumbuhan sektor swasta serta memperkukuhkan kerjasama antara pemain industri dan kerajaan.
Beliau berkata, usaha berterusan MICCI Sabah dalam menganjurkan program berimpak tinggi seperti SIE2026 mampu membantu menarik lebih banyak pelaburan, merangsang aktiviti perdagangan dan membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat serta komuniti perniagaan di negeri ini.



