KOTA KINABALU: Sedco akan meneliti cadangan kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam membangunkan sektor ekonomi maritim negeri.
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah berkata, teknologi AI mempunyai potensi besar dan berimpak tinggi dalam pembangunan ekonomi biru berasaskan sumber hasil laut.
“Saya akan memanggil satu mesyuarat khas bersama pengurusan tertinggi Sedco berhubung cadangan UMS ini, selaras dengan komitmen agensi menerusi projek Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat (KBEIP),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi UMS yang diketuai Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Rayner Alfred dan Prof. Madya Dr. Mohammad Puad Debit, di sini, semalam.
Dalam kunjungan itu, delegasi UMS mengemukakan cadangan jaringan kerjasama inovasi AI antara Sedco dan universiti berkenaan.
Menurut Masiung, penubuhan Malaysia AI of Excellence (MaiCoE) oleh UMS berpotensi memainkan peranan penting dalam pembangunan pelbagai inovasi berasaskan AI, termasuk dalam sektor ekonomi maritim serta pelancongan pesisir dan kepulauan secara digital.
Katanya, Sedco sebagai agensi pelaburan Kerajaan Negeri Sabah akan meneliti kepakaran dan teknologi yang dimiliki UMS bagi disesuaikan dengan program pembangunan Sedco yang sedang dan bakal dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, Sedco kini sedang menyusun kerangka pembangunan bagi meletakkan Sabah sebagai hab ekonomi maritim di Kudat.
Katanya, projek KBEIP yang dicadangkan itu akan berteraskan teknologi hijau dan pemanfaatan sumber laut yang berpotensi menjadikan Sabah antara pemain penting dalam sektor ekonomi biru di rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata, kerjasama antara Sedco dan UMS menerusi penerapan AI mampu membuka ruang kepada pembangunan teknologi baharu, inovasi serta peluang pelaburan dalam sektor ekonomi maritim negeri.



