KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 kawasan di seluruh negara merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 11 pagi hari ini, dengan Serian, Sarawak mencatat bacaan tertinggi iaitu 182.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga kawasan merekodkan status kualiti udara baik manakala 55 lagi berada pada tahap sederhana.
Selain Serian, kawasan yang mencatat IPU tidak sihat ialah Kuching (171), Samarahan (170), Sri Aman (162), Sarikei (158), Cheras di Kuala Lumpur (153), Bintulu (151), Mukah (151), Johan Setia di Selangor (151) dan Shah Alam (107).
JAS memaklumkan kualiti udara dalam negara didapati merosot dengan peningkatan kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur susulan pergerakan asap jerebu daripada pelbagai arah.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) hari ini menerusi imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, sebanyak 150 titik panas dikesan di Kalimantan dan 11 di Sumatera.
Sebanyak 25 titik panas turut dikesan dalam negara dengan 22 daripadanya di Sarawak dan tiga di Sabah.
Menurut JAS, Peta Jerebu Serantau ASMC menunjukkan keadaan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan kecuali bahagian utara Sumatera dan Semenanjung Malaysia yang mengalami hujan.
Titik panas bertaburan dikesan di Kalimantan manakala beberapa titik panas turut dikesan secara terpencil di kawasan lain di ASEAN selatan.
Kepulan asap setempat sederhana diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di banyak kawasan Kalimantan manakala kepulan asap ringan dikesan dari titik panas di bahagian tengah Sumatera.
Beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Kalimantan Barat, bahagian tengah dan selatan Sumatera serta bahagian barat dan tengah Sarawak turut merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat.
Bagaimanapun, liputan penuh situasi titik panas dan jerebu di rantau ini tidak dapat ditentukan berikutan litupan awan.
JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu.
Mengikut PTJK, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat sekiranya bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.
Semua aktiviti di luar bilik darjah pula perlu dihentikan apabila IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.
Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai sekiranya IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.
JAS turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis mereka dicerobohi sehingga menyebabkan pembakaran.
Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, pesalah boleh dikenakan denda minimum RM25,000 dan maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, selain kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum bagi setiap kesalahan.



