HomeUtamaTadbir urus kukuh kunci koperasi kekal berdaya saing - Masidi

Tadbir urus kukuh kunci koperasi kekal berdaya saing – Masidi

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Pengurusan yang cekap, tadbir urus yang kukuh serta keupayaan menyesuaikan strategi perniagaan mengikut perkembangan semasa merupakan faktor penting bagi memastikan koperasi terus berdaya saing dan mampu memberi manfaat berterusan kepada rakyat Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, gerakan koperasi memainkan peranan signifikan dalam menyediakan peluang ekonomi kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti perniagaan yang dapat menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan anggota.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyokong dan memperkasakan gerakan koperasi sebagai antara pemangkin pembangunan ekonomi negeri, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan pertumbuhan ekonomi secara inklusif.

“Gerakan koperasi mempunyai peranan penting dalam menyediakan peluang ekonomi kepada masyarakat, khususnya melalui aktiviti perniagaan yang mampu menjana pendapatan serta meningkatkan kesejahteraan anggota.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyokong dan memperkasakan gerakan koperasi sebagai salah satu pemangkin pembangunan ekonomi negeri, selaras dengan aspirasi SMJ 2.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Koperasi Green Sabah Berhad yang diketuai Pengerusinya, Datuk Mohd Salleh Abbas bersama rombongan di pejabatnya, di sini.

Dalam pertemuan itu, Masidi turut memuji peranan dan sumbangan Koperasi Green Sabah Berhad dalam mengembangkan kegiatan ekonomi serta meningkatkan taraf sosioekonomi anggotanya.

Menurut beliau, koperasi berkenaan telah menunjukkan keupayaan yang baik dalam meneroka dan mempelbagaikan bidang perniagaan, sekali gus membuktikan daya tahan serta kebolehannya menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi semasa.

Katanya, Koperasi Green Sabah Berhad yang ditubuhkan pada 1959 mempunyai pengalaman luas dalam gerakan koperasi dan berjaya mengekalkan pertumbuhan serta relevan dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah.

“Keupayaan untuk mempelbagaikan kegiatan perniagaan dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa wajar dijadikan contoh oleh koperasi lain di Sabah, khususnya dalam usaha mengenal pasti bidang yang mempunyai potensi pertumbuhan,” katanya.

Pada sesi kunjungan itu, Masidi turut diberikan taklimat mengenai perkembangan semasa koperasi, aktiviti perniagaan yang dijalankan serta perancangan masa depan organisasi tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kunjungan berkenaan dan berharap hubungan serta kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Koperasi Green Sabah Berhad akan terus diperkukuh demi menyokong pembangunan ekonomi negeri serta memperluaskan peluang ekonomi kepada masyarakat Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Sindiket ‘bomoh’: Dua individu didakwa pakat jahat tipu tiga mangsa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular