HomeSukanSUKMA XXII : Pencak Silat sumbang pingat emas pertama Sabah

SUKMA XXII : Pencak Silat sumbang pingat emas pertama Sabah

Read Time:1 Minute, 51 Second

SHAH ALAM: Kem Pencak Silat Sabah menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen negeri pada hari ini selepas cemerlang dalam acara Silat Seni Regu Wanita pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang berlangsung di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Pingat emas berkenaan diraih menerusi persembahan mantap trio Sabah yang dibarisi Manjaseerah Manuil, Sherlenna Abdullah dan Fiffy Ferlisa F. Rien yang berjaya menewaskan Johor dalam aksi akhir yang berlangsung sengit.

Trio Silat Seni Regu Wanita hadiahkan pingat emas untuk Sabah – Foto Ihsan MSN Sabah

Pasukan Sabah mencatatkan 9.920 mata untuk muncul juara, sekali gus mengatasi Johor yang mengumpul 9.905 mata. Jurang 0.015 mata itu sudah cukup untuk memastikan emas menjadi milik Sabah dan membuka tirai kejayaan kontinjen negeri pada hari pertandingan.

Kejayaan tersebut turut mengukuhkan reputasi Sabah sebagai antara kuasa pencak silat negara, khususnya dalam kategori seni yang memerlukan ketepatan, keserasian dan disiplin tinggi.

Sementara itu, Roslan Habil hampir menghadiahkan satu lagi pingat emas buat Sabah apabila mara ke final Silat Seni Solo Kreatif Lelaki. Namun, beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas tipis kepada wakil Wilayah Persekutuan.

Pemenangn pingat perak Silat Seni Solo Kreatif Roslan Habil – Foto Ihsan MSN Sabah

Roslan mencatatkan 9.895 mata berbanding 9.900 mata yang diraih lawannya, dengan perbezaan hanya 0.005 mata untuk menentukan pemenang.

Satu lagi pingat perak disumbangkan oleh Roslyana Rustam menerusi acara Silat Seni Tunggal Wanita. Roslyana mengumpul 9.890 mata untuk menduduki tempat kedua, manakala pingat emas dimenangi Izzah Najwa dari Selangor yang mencatatkan 9.920 mata.

Roslyana yang meraih pingat perak bagi Silat Seni Tunggal Wanita – Foto Ihsan MSN Sabah

Kem Pencak Silat Sabah turut menambah koleksi pingat menerusi acara Silat Seni Regu Lelaki apabila trio Muhammad Nazir, Mohammad Syafwan dan Muhamad Darmadiansyah meraih pingat gangsa selepas perjalanan mereka terhenti di peringkat separuh akhir semalam.

Secara keseluruhan, skuad Pencak Silat Sabah menamatkan saingan dengan kutipan satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa, sekali gus memberikan sumbangan penting kepada kontinjen negeri dalam pemburuan pingat di SUKMA XXII Selangor 2026.

Kejayaan para atlet itu turut mencerminkan hasil kerja keras dan komitmen barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Mohd Aman Jinli dan Muhammad Haafiz Sadik dalam mempersiapkan pasukan menghadapi cabaran temasya dwitahunan berkenaan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII : Olahraga, Silat dan Taekwondo sandaran Sabah buru pingat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular