Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan komitmennya untuk memastikan pengurusan kewangan negeri, termasuk Sabah Development Bank Berhad (SDB), dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan berlandaskan tadbir urus yang baik.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tindakan undang-undang yang diambil kerajaan negeri berhubung isu audit penyata kewangan SDB membuktikan Sabah tidak berkompromi dalam soal pengurusan dana dan khazanah negeri.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai saman berkenaan, Masidi berkata kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya proses selanjutnya kepada mahkamah untuk menentukan perkara itu.
“Kita telah pun memfailkan saman dan kini menunggu proses mahkamah selanjutnya.
“Apa yang pasti, secara simboliknya ini menunjukkan keterbukaan Sabah, ‘nothing to hide’. Kalau orang berhutang dengan kita, kita saman. Itu sahaja.
“Bagi SDB pula, kita telah menyaman semua pemiutang tanpa mengira siapa,” tegasnya.
Tegas Masidi lagi, tindakan itu turut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri memastikan pengurusan kewangan dan dana Sabah bukan sahaja dilaksanakan dengan baik, malah secara telus.
“Kita harap ini akan mewujudkan budaya tadbir urus yang lebih baik dalam mengurus khazanah dan kewangan negeri Sabah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Negeri Sabah telah memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap firma audit Ernst & Young PLT (EY), dengan mendakwa firma berkenaan gagal melaksanakan tanggungjawab profesional ketika mengaudit penyata kewangan SDB bagi tahun kewangan 2011 hingga 2022.
Tindakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur oleh Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Sabah Development Berhad dan SDB Corporation Sdn Bhd sebagai plaintif, manakala EY dinamakan sebagai defendan.
Sementara itu pada sidang media sama, ketika ditanya mengenai perkembangan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah, Masidi berkata rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan setakat ini menunjukkan perkembangan positif.
Beliau berkata mesyuarat induk seterusnya dijadualkan berlangsung pada 28 Ogos ini di Kota Kinabalu bagi meneliti laporan jawatankuasa teknikal yang sebelum ini mengadakan perbincangan di Kuala Lumpur.
“Mesyuarat akan berlangsung pada Jumaat, 28 Ogos ini di Kota Kinabalu dan dijangka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin-pemimpin lain akan hadir.
“Statusnya setakat ini ‘so far so good’,” katanya.



