SUBANG JAYA : Skuad sepak takraw Sabah semakin menghampiri sasaran lima pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas mencipta hatrik emas pada saingan di Arena MBSJ, Puchong, di sini pada Jumaat.
Tiga emas yang diraih itu menjadikan Sabah mengumpul empat emas keseluruhan dalam acara sepak takraw, termasuk satu emas menerusi acara berpasukan wanita yang dimenangi pada Selasa lalu.
Kejayaan itu sekali gus meletakkan Sabah hanya selangkah untuk mencapai sasaran lima emas yang ditetapkan sebelum temasya berlangsung.
Tiga emas pada Jumaat hadir menerusi acara regu dua pemain wanita, regu dua pemain lelaki dan regu empat pemain wanita.

Dalam aksi final regu dua pemain wanita, Nazira Hani Iskandar dan Nedveeasharny Samaan bersama pemain simpanan Fieorylla Faradona menampilkan aksi kemas untuk menewaskan regu Perlis 15-7, 15-7.
Sabah kemudian meneruskan momentum menerusi regu dua pemain lelaki yang menampilkan gandingan Wan Muhammad Zulhakim Wan Sablee dan Wan Syahrul Ramadhan, dengan Norikhman Duraman sebagai pemain simpanan.

Kemenangan itu dilengkapkan menerusi acara regu empat pemain wanita apabila Fisydiana Faradona, Mersyella Dazzy Abalay, Nur Anis Alia Lair, Nur Syafikah Andi, Nurshazreyana Edy dan Rohaizan Roger Harun menewaskan Perak 15-12, 15-11.
Dengan dua lagi emas masih ditawarkan menerusi acara regu lelaki dan wanita, Sabah berpeluang cerah menamatkan kempen sepak takraw dengan lima emas seperti yang disasarkan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian skuad berkenaan membuktikan persiapan rapi yang dilakukan sebelum SUKMA membuahkan hasil.
“Syabas kepada semua pengurusan dan pasukan sepak takraw Sabah kerana berjaya menyumbangkan seperti yang dijangka dari awal.
“Hari ini kita menang tiga emas dan kelmarin satu emas. Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang, esok atau lusa kita dapat satu lagi pingat emas kerana kita memang mengharapkan sepak takraw menyumbang lima emas kepada kontinjen Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu juga perlu dijadikan contoh oleh persatuan sukan lain di Sabah dalam memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.
Katanya, penyertaan dalam SUKMA perlu disertai dengan persediaan menyeluruh dan matlamat yang jelas untuk mencapai kemenangan.
“SUKMA ini adalah satu sukan yang berprestij tinggi di Malaysia dan ia bukan satu sukan yang kita panggil sebagai ‘trial and error’.
“Bila kita bertanding, kita mesti bertanding dengan matlamat untuk menang. Diharapkan persatuan dan pasukan lain di Sabah dapat belajar daripada ini dan memperbaiki persiapan agar kita dapat keputusan lebih baik dua tahun lagi,” katanya.



