HomeSukanSUKMA XXII : Skuad wushu pertahan dua pingat emas acara Sanda

SUKMA XXII : Skuad wushu pertahan dua pingat emas acara Sanda

Read Time:1 Minute, 27 Second

SHAH ALAM: Skuad wushu Sabah terus mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih dua pingat emas menerusi acara Sanda pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, pada Ahad.

Pingat emas pertama disumbangkan oleh Amirah Sofea Azlan dalam kategori wanita 48 kilogram (lebih 45kg hingga 48kg) selepas menewaskan wakil Johor, See Ke Xin, dengan keputusan 2-0 pada perlawanan akhir.

Aksi mantap yang dipamerkan Amirah sepanjang pertandingan membolehkan beliau menguasai pertarungan dan muncul juara kategori tersebut sekali gus menghadiahkan emas berharga buat Sabah.

Sementara itu, Sabah turut menambah satu lagi pingat emas menerusi kategori lelaki 52 kilogram (lebih 48kg hingga 52kg) apabila Fyenlly Himon berjaya menewaskan wakil Pulau Pinang, Terris Thaw Khai Zhe, dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit.

Kejayaan kedua-dua atlet itu membuktikan kekuatan skuad wushu Sabah dalam acara Sanda serta hasil persiapan rapi yang dilakukan menjelang temasya SUKMA kali ini.

Sementara itu, Amirah berkata, kejayaan meraih pingat emas itu amat bermakna buat dirinya, keluarga dan Sabah, terutama selepas mendapat sokongan berterusan daripada ibu bapanya sepanjang menjalani latihan.

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat pingat emas. Terima kasih kepada keluarga, mak ayah yang tidak pernah berhenti menyokong saya dan latihan saya. Kemenangan ini untuk keluarga saya, Sabah dan diri saya sendiri,” katanya.

Amirah turut menyifatkan kejayaan di SUKMA Selangor 2026 sebagai emas keduanya dalam temasya tersebut selepas sebelum ini turut memenangi pingat emas pada SUKMA Sarawak dalam acara Sanda wanita bawah 48 kilogram.

Mengulas perlawanan akhir, Amirah berkata beliau memasuki gelanggang dengan keyakinan untuk meraih kemenangan, malah menyasarkan kemenangan menerusi KO, namun pertarungan berakhir selepas dua pusingan.

“Saya memang yakin untuk menang, malah menyasarkan kemenangan KO, tetapi saya dapat habiskan dua pusingan. Apa pun, saya tetap bersyukur dengan keputusan ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII: Skuad memanah Sabah perbaiki pencapaian, serlah potensi pemanah muda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular