KOTA KINABALU: Sabah FC memulakan kempen Liga Super dengan kemenangan 3-1 ke atas Star City FC pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Sabah yang tampil dengan corak permainan menyerang hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi percubaan pemain import Gonzalo Di Renzo, namun bola berjaya ditolak keluar oleh penjaga gol Star City FC, Muhammad Hafizul Hakim.
Pasukan pelawat kemudian menguji gawang Sabah pada minit kelima menerusi tandukan Ramon Machado tetapi penjaga gol Sabah, Juan Flere tangkas menepis percubaan tersebut.
Memasuki minit ke-14, Sabah sekali lagi mencipta peluang apabila Mohd Fadzrul Danel melepaskan percubaan terus ke arah gawang Star City FC, namun bola tersasar di sebelah gawang.
Sabah terus menguasai permainan dan melancarkan beberapa serangan ke kubu pertahanan Star City FC sebelum usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-26.
Dean Ingham membuka jaringan untuk Sabah selepas menyempurnakan hantaran Fadzrul yang memasuki kawasan tengah sebelum disudahkan dengan kemas untuk meletakkan Sabah di hadapan 1-0.
Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan dua minit apabila Star City FC menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi pemain import Rafael Vitor.
Rafael menanduk masuk bola hasil sepakan sudut dengan tandukan lambung yang gagal diselamatkan penjaga gol Sabah, menjadikan kedudukan 1-1.
Sabah terus berusaha mendapatkan gol kedua dan hampir kembali di hadapan pada minit ke-38 menerusi Park Jungbin namun percubaannya berjaya ditolak keluar oleh pertahanan Star City FC, Rafael Vitor.
Memasuki babak kedua, Sabah terus memperkemaskan serangan dalam usaha mendapatkan gol kedua selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama.
Pada minit ke-67, Sabah menyangka berjaya kembali di depan menerusi Park Jungbin yang meledak gol kedua, namun jaringan berkenaan dibatalkan selepas beliau didapati berada dalam posisi ofsaid.
Sabah bagaimanapun tidak mengendurkan asakan dan terus mencari ruang untuk memecahkan benteng pertahanan Star City FC.
Pada minit ke-84, pemain import Sabah Oskari Kekkonen turut mencuba nasib menerusi rembatan terus dari luar kawasan, namun bola melintasi palang gawang Star City FC.
Usaha Sabah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-88 apabila Darren Lok menjaringkan gol kedua selepas menolak masuk bola hasil hantaran Fadzrul, sekali gus meletakkan Sabah di hadapan 2-1.
Tidak cukup dengan satu gol, Sabah terus mengasak dan berjaya menambah gol ketiga pada minit masa tambahan separuh masa kedua.
Park Jungbin melengkapkan malam cemerlangnya apabila menyudahkan hantaran Fayad untuk menjadikan kedudukan 3-1 memihak kepada Sabah.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan Sabah memulakan kempen Liga Super dengan kemenangan 3-1 ke atas Star City FC selepas bangkit daripada keputusan seri 1-1 pada babak pertama. – SABAH MEDIA



