KOTA KINABALU: Seramai 10 lagi warga asing dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), menjadikan jumlah keseluruhan yang dipindahkan setakat ini seramai 4,760 orang.
Kesemua 10 tahanan terbabit adalah warga Indonesia dari Depot Imigresen Tawau yang dihantar melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan feri komersial.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah, pemindahan berkenaan dilaksanakan di bawah kategori pemindahan melalui laut bagi tahun 2026.
Kumpulan berkenaan terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita dewasa.
Kesemua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan mempunyai Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah bagi membolehkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal.
Daripada jumlah keseluruhan 4,760 tahanan PATI yang telah dipindahkan, 3,008 adalah warga Filipina dan 1,488 warga Indonesia.
Ia turut membabitkan 118 warga Pakistan, 109 warga China, 18 warga Vietnam dan 19 warga negara lain.
Dalam pada itu, JIM Sabah menyeru semua pihak agar lebih peka terhadap persekitaran dalam komuniti, tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta segera melaporkan kegiatan PATI melalui saluran rasmi jabatan berkenaan.




