KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya selepas skuad kendaliannya membuka kempen Liga Super dengan kemenangan 3-1 ke atas Star City FC di Stadium Likas malam tadi.
Garrido berkata, kemenangan itu menepati sasaran pasukan untuk mendapatkan tiga mata selain memastikan Sabah FC memberikan aksi yang baik di laman sendiri.
Menurutnya, keputusan positif tersebut amat penting sebagai permulaan kempen, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai pemain baharu dalam skuad The Rhinos.
“Kami gembira kerana kami fikir kami berjaya mencapai apa yang kami mahukan, iaitu mendapatkan tiga mata dan memberikan aksi yang baik di laman sendiri.
“Kami mahu menarik lebih ramai orang datang ke Likas dan saya fikir mereka menikmatinya hari ini. Jadi, kami gembira,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sabah FC bermula baik dalam perlawanan berkenaan apabila berjaya menghasilkan tiga gol untuk memastikan tiga mata menjadi milik mereka.
Bagaimanapun, Garrido mengakui Star City FC turut memberikan cabaran kepada pasukannya, terutama menerusi situasi bola mati.
Katanya, Sabah sudah menjangkakan ancaman berkenaan dan perlu melakukan beberapa penyesuaian bagi mengurangkan peluang yang diberikan kepada pihak lawan.
“Ya, kebanyakannya melalui situasi bola mati, mereka mencipta peluang. Kami tahu mereka berbahaya dalam situasi seperti itu. Gol pertama mereka juga merupakan gol yang baik. Itu sebahagian daripada permainan,” katanya.
Garrido berkata, barisan kejurulatihan kemudian cuba melakukan penyesuaian bagi mengurangkan peluang Kuching City FC, termasuk daripada sepakan sudut dan sepakan percuma.
Beliau menyifatkan Sabah FC lebih berjaya mengawal permainan pada babak kedua selepas melakukan penyesuaian tersebut.
“Kami cuba melakukan penyesuaian selepas itu bagi mengurangkan peluang yang diberikan kepada mereka, mengurangkan jumlah sepakan sudut dan sepakan percuma. Saya fikir pada separuh masa kedua kami lebih berjaya mengawal permainan,” katanya.
Dalam pada itu, Garrido turut menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai permulaan yang baik untuk Sabah FC dalam usaha membina keyakinan dan momentum sepanjang kempen Liga Super musim ini.
Beliau berkata, kehadiran ramai pemain baharu menjadikan kemenangan awal itu lebih bermakna dalam membantu pasukan membentuk keserasian.
Katanya, beliau juga berpuas hati melihat penyokong menikmati aksi pasukan sehingga tamat perlawanan.
“Saya suka cara pasukan bermain dan saya juga suka melihat penyokong menikmatinya pada penghujung perlawanan.
“Ia merupakan perlawanan yang penuh emosi. Jadi, ini adalah permulaan yang baik dan kami berharap lebih ramai orang akan datang ke Likas pada perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya.- SABAH MEDIA



