HomeUtamaWarga emas ditemukan mati dalam tandas

Warga emas ditemukan mati dalam tandas

Read Time:1 Minute, 19 Second

SANDAKAN: Seorang wanita warga emas berusia 62 tahun ditemukan mati dalam keadaan mereput di dalam tandas rumah kayu dua tingkat miliknya di Jalan Leila, di sini, pada 19 Ogos lalu.

Mangsa ditemukan dengan tangan diikat menggunakan tali di belakang badan dan kepalanya ditutup menggunakan kain.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, polis menerima maklumat orang awam kira-kira jam 8.10 malam selepas terhidu bau kurang menyenangkan dari rumah berkenaan.

Menurutnya, anggota Balai Polis Sandakan tiba kira-kira 35 minit kemudian sebelum menemukan mayat mangsa yang dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelumnya.

“Pemeriksaan berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemukan di tempat kejadian mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dengan bantuan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kemudian menjalankan siasatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

George berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan 10 individu dalam tempoh kurang 24 jam, sebelum dua daripada mereka dikenal pasti sebagai suspek utama.

Katanya, semua yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita berusia antara 10 hingga 39 tahun.

“Tiga daripada mereka adalah warga Filipina, manakala tujuh lagi warga tempatan dan kesemuanya mempunyai hubungan kekeluargaan.

“Soal siasat lanjut mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham mengenai upah mengubah suai rumah mangsa serta rasa tidak puas hati kerana mangsa menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang didiami semua suspek,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan sebagai senjata serta beberapa barangan peribadi mangsa yang dilarikan suspek.

“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Alidin, Patimah penerima Anugerah Tokoh Maulidur rasul 1448H negeri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular