TUARAN: Padang Istiadat Pekan Tuaran dipilih sebagai lokasi pelancaran sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 peringkat negeri Sabah pada 10 Oktober depan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sambutan itu dijangka akan dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, Tuaran turut menjadi lokasi utama sambutan bagi kawasan Bahagian Pantai Barat, manakala program sama akan dilaksanakan secara serentak di beberapa daerah lain di Sabah.
“Insya-Allah, sambutan ini akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah. Tuaran ini juga akan menjadi venue bagi kawasan Bahagian Pantai Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Khamis.
Nizam berkata, pada tarikh sama, sambutan HSN turut diadakan di enam bahagian di seluruh negeri dengan beberapa lokasi utama sudah ditetapkan.
Katanya, bagi kawasan Tawau, sambutan akan diadakan di Pekan Kunak, manakala Sandakan pula memilih Kompleks Sukan Sandakan sebagai lokasi penganjuran.
Selain itu, sambutan turut diadakan di Beaufort, Kudat dan Keningau, selain Tuaran.
Menurutnya, penganjuran secara serentak itu bertujuan memastikan masyarakat di seluruh Sabah berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti sukan yang disediakan.
Beliau berkata, pelbagai program berbentuk komuniti dan kekeluargaan akan diadakan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk senamrobik perdana, larian santai, pertandingan catur, aerobikton, sukan rakyat tradisional, pertandingan carrom serta e-sukan.
Nizam berkata, sambutan HSN 2026 peringkat Sabah membawa tema ‘Sukan dan Teknologi AI’, selaras dengan usaha menggalakkan masyarakat menghayati kepentingan sukan serta perkembangan teknologi dalam kehidupan.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah supaya mengambil peluang menyertai program yang disediakan pada 10 Oktober depan, sama ada di peringkat negeri di Tuaran mahupun di lokasi sambutan di daerah masing-masing.
Katanya, sambutan HSN bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform untuk membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat secara berterusan.
“HSN ini adalah salah satu peringatan dan simbol bahawa pemimpin negara bersama-sama rakyat untuk memastikan budaya hidup sihat melalui aktiviti sukan menjadi amalan kepada seluruh rakyat Sabah.
“Bukan hanya 10 Oktober ini saja tetapi sepanjang kehidupan kita,” katanya.



