HomeUtamaImej hati, angka '69' lakar langit Putrajaya menerusi aerobatik 'melukis senja'

Imej hati, angka ’69’ lakar langit Putrajaya menerusi aerobatik ‘melukis senja’

Read Time:2 Minute, 51 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA :  Langit Putrajaya bakal menjadi kanvas gergasi apabila imej hati dan angka ‘69’, dilakar di udara menerusi persembahan aerobatik khas “Melukis Senja”, sekali gus mencipta satu lagi detik istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, tahun ini.

Persembahan sulung yang diadakan bersempena dengan Hari Kebangsaan itu, bakal menampilkan pesawat aerobatik Krisakti EXTRA 300 yang diterbangkan juruterbang dan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mej (B) Datuk Halim Othman atau mesra dikenali “Toogoo”, dengan aksi udara berlatarkan panorama Putrajaya dan cahaya matahari terbenam antara 7 hingga 7.30 malam ini, bertempat di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru di sini.

Beliau berkata idea itu tercetus daripada hasrat untuk membawa kelainan kepada sambutan Hari Kebangsaan kali ini, ditambah dengan pemilihan Putrajaya sebagai lokasi kerana landskapnya termasuk tasik, bangunan dan jambatan, menjadi latar menarik untuk persembahan yang menggabungkan aksi udara dengan suasana matahari terbenam.

“Merdeka ini satu hari kebesaran untuk kita raikan bersama. Jadi saya ingin bawakan sesuatu kelainan dari segi persembahan airshow. Kita ada 10 kru termasuk saya, seorang pembantu juruterbang, juruteknik dan jurutera untuk menjayakanMelukis Senja hari ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Bagi memastikan keselamatan, Halim berkata persembahan itu telah melalui proses kelulusan dan penilaian risiko bersama agensi berkaitan, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Perbadanan Putrajaya dan Kementerian Komunikasi.

“Mana-mana air display, airshow ataupun air presentation, kita kena mendapatkan kelulusan daripada CAAM. Jadi kita buat benda ini hampir enam bulan untuk mendapatkan kelulusan, untuk evaluate the safety risk. Latihan untuk persembahan ini kita buat kira-kira tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata antara kemuncak persembahan ialah aksi melakar angka ‘69’ dan hati di udara menggunakan sebuah pesawat sahaja, yang akan dihasilkan menerusi gerakan pesawat dan asap, selain turut menampilkan beberapa gerakan aerobatik pada kelajuan tinggi dan rendah, sebelum asap dan piroteknik digunakan menjelang penghujung pertunjukan.

“Kita akan memulakan pertunjukan itu dengan beberapa pergerakan, pergerakan secara rawak berserta asap… kerana apabila saya sedang terbang di udara, saya akan menilai keadaan bilakah masa terbaik untuk melepaskan piroteknik saya dan lima minit sebelum berakhir akan ada pertunjukan bunga api, jadi pengunjung jangan balik dahulu,” katanya.

Pada masa sama Halim turut mengingatkan pengunjung supaya tidak menerbangkan dron ketika persembahan berlangsung kerana ia boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat.

Beliau berkata maklum balas orang ramai terhadap sesi latihan sebelum ini juga amat positif berdasarkan reaksi yang diterima di media sosial, malah beliau menjangkakan lokasi persembahan akan dipenuhi pengunjung hari ini.

“Wow, mengasyikkan dan ia akan menjadi satu memori yang baik, itu tiga perkataan untuk menggambarkan Melukis Senja,” katanya.

Halim, yang bersara daripada TUDM pada 1998 selepas kali terakhir berkhidmat dengan menerbangkan pesawat F/A-18 Hornet di Butterworth, Pulau Pinang, kembali aktif dalam dunia aerobatik kira-kira 10 tahun selepas persaraan kerana merindui pengalaman berada di kokpit.

Beliau kemudiannya mempelajari penerbangan aerobatik di Amerika Syarikat dan Eropah, selain menyertai perlumbaan udara sebelum menubuhkan pasukan penerbangan sendiri.

Melukis Senja merupakan salah satu program sisipan sempena RIUH Merdeka anjuran MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative), yang meraikan semangat patriotik dan menghimpunkan masyarakat untuk menghayati kreativiti, budaya dan semangat kebersamaan.

RIUH Merdeka turut menyediakan platform kepada penggiat seni, penghibur dan usahawan tempatan untuk mengetengahkan bakat dan hasil karya di samping memperluas jaringan hubungan antara penggiat seni dengan usahawan, yang akan bermula 2 petang ini hingga 4 pagi (31 Ogos) dan dari 8 pagi hingga 2 petang esok. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Belia Sabah perlu berani bersuara, namun berlandaskan ilmu, fakta dan adab...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular