KOTA KINABALU: Seorang pemilik pusat hiburan didenda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan.
Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lionil Peter, 29, selepas beliau mengaku bersalah pada Selasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh mengendalikan pusat hiburan berkenaan di Inanam melebihi waktu operasi yang dibenarkan, pada jam 3.03 pagi, 22 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11 Ordinan sama.
Seksyen itu memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Lionil selaku pemilik premis didapati menjalankan perniagaan hiburan melebihi waktu yang ditetapkan.
Peguam Lim Ming Zoong yang mewakili Lionil memohon hukuman denda ringan, manakala pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan.



