KENINGAU : Beberapa siri kejadian gempa bumi lemah sebelum ini pernah direkodkan di daerah Keningau termasuk pada 2019,2023 dan 6 Oktober 2024.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, rekod berkenaan berdasarkan pemantauan dan analisis seismik Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Beliau berkata, satu kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 dikesan berlaku di Keningau pada jam 9.31 pagi hari ini.
“Analisis teknikal seismologi yang dikemas kini mendapati pusat gempa berkenaan terletak pada koordinat 5.3 darjah Utara dan 116.11 darjah Timur, kira-kira 10 kilometer di barat Keningau.
“Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan gegarannya dilaporkan dirasai secara nyata oleh penduduk di sekitar daerah berkenaan.
“Sehingga jam 11.30 pagi, MET Malaysia menerima sebanyak 463 laporan gegaran dirasai daripada orang awam berhampiran kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Arthur berkata, kejadian gempa bumi yang berlaku hari ini merupakan sebahagian daripada pelepasan tenaga tektonik tempatan di rantau berkenaan.
Beliau berkata, MET Malaysia akan terus menjalankan pemantauan rapi terhadap sebarang aktiviti gempa susulan di kawasan Keningau.
Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak berasa bimbang atau panik susulan kejadian tersebut, memandangkan gempa yang direkodkan berada pada paras magnitud lemah.
Beliau berkata, kejadian itu tidak menimbulkan ancaman tsunami dan orang ramai juga diminta supaya tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.
Maklumat terkini berkaitan cuaca dan gempa bumi boleh diperoleh melalui saluran rasmi MET Malaysia, termasuk laman web rasmi jabatan, aplikasi myCuaca serta media sosial rasmi MET Malaysia.
Sebarang pertanyaan lanjut juga boleh diajukan menerusi talian Hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638.
NRES bersama MET Malaysia memberi jaminan bahawa pemantauan terhadap aktiviti seismik di Keningau akan diteruskan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa diberi keutamaan.



