HomeSukanPiala FA : Sabah mampu beri saingan seimbang kepada Selangor – Garrido

Piala FA : Sabah mampu beri saingan seimbang kepada Selangor – Garrido

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Sabah FC membuktikan mereka mampu memberikan saingan seimbang kepada Selangor FC meskipun pasukan lawan dianggap lebih baik.

Ketua Jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido berkata, aksi seri 2-2 pada perlawanan pertama Pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas, malam tadi, memperlihatkan pemain Sang Badak mampu berdepan Selangor secara bersemuka tanpa rasa gentar.

Katanya, Sabah berjaya menyamai Selangor dalam banyak aspek sepanjang perlawanan dan perkara itu perlu dikekalkan menjelang aksi kedua timbal balik di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, pada 9 September ini.

“Perasaan saya sepanjang perlawanan malam ini adalah baik. Kita berdepan dengan pasukan yang bagus, yang dikatakan pasukan yang lebih baik berbanding kita.

“Tapi, kita menyamai mereka dalam banyak aspek dan berdepan dengan mereka secara bersemuka. Jadi, kita perlu melakukan perkara yang sama pada aksi kedua.

“Jika tidak, jika kita takut, mereka pasti akan menewaskan kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan pertama Pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Dalam aksi berkenaan, Sabah terlebih dahulu memberikan tentangan sengit kepada Selangor sebelum kedua-dua pasukan terikat 2-2 untuk membawa keputusan seimbang ke perlawanan timbal balik.

Garrido berkata, persembahan anak buahnya juga membuktikan Sabah tidak mudah didominasi meskipun berdepan pasukan yang mempunyai reputasi lebih baik.

“Kita ada masa lagi untuk menyemak semula perlawanan malam ini dan buat masa ini, saya fikir kita bermain dengan agak baik, menggunakan gaya permainan kita.

“Kita tidak berasa didominasi di laman sendiri oleh pasukan seperti Selangor,” katanya.

Bagaimanapun, Garrido mengakui Sabah masih mempunyai ruang untuk memperbaiki beberapa aspek, terutama dalam memanfaatkan peluang yang dicipta bagi memastikan mereka mampu membawa keputusan lebih positif pada aksi kedua.

Beliau berkata, Sabah sebenarnya mempunyai peluang yang mencukupi untuk menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan corak permainan terbuka yang ditampilkan kedua-dua pasukan.

“Saya fikir kita sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol hari ini, jadi kita perlu memperbaiki perkara itu. Kita mencipta peluang yang mencukupi dalam permainan terbuka untuk menjaringkan gol.

“Jika kita sedikit lebih bernasib baik, kita boleh menamatkan perlawanan dengan kelebihan,” katanya.

Keputusan seri 2-2 itu menyaksikan Sabah dan Selangor mempunyai peluang sama rata untuk mara ke suku akhir Piala FA, dengan segala-galanya bakal ditentukan pada aksi kedua di Petaling Jaya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala FA : Abdul Halim selamatkan Sabah daripada tumbang di Likas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular