HomeSukanPara SUKMA : Charmian cipta rekod, Sabah ungguli carta dengan enam emas

Para SUKMA : Charmian cipta rekod, Sabah ungguli carta dengan enam emas

Read Time:1 Minute, 47 Second

SHAH ALAM : Kontinjen Para Sabah terus mencuri tumpuan pada hari pertama saingan Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila berjaya mengumpul enam pingat emas, enam perak dan lima gangsa setakat jam 5 petang hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan Sabah mengungguli carta pungutan pingat, hasil prestasi cemerlang atletnya dalam beberapa acara yang dipertandingkan pada hari pertama temasya.

Lima daripada enam emas Sabah disumbangkan menerusi acara Para Olahraga, manakala satu lagi emas hadir daripada acara Para Ping Pong perseorangan Kelas 6-7 (Lelaki) menerusi Mohd Nazizul Hamzah.

Mohd Nazizul muncul juara dalam acara berkenaan untuk menghadiahkan emas keenam buat kontinjen Para Sabah, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu di tangga teratas carta pungutan pingat.

Mohd Nazizul Hamzah

Dalam saingan Para Olahraga, kejayaan Sabah turut diserikan dengan penciptaan Rekod Kejohanan oleh atlet wanita, Charmian Sikajat, yang memenangi acara Lontar Peluru F20 (Wanita) dengan catatan sejauh 11.50 meter.

Prestasi tersebut bukan sahaja menghadiahkan emas buat kontinjen Sabah, malah membuktikan keupayaan atlet negeri itu untuk mencipta pencapaian baharu dalam temasya sukan para peringkat kebangsaan.

Selain Charmian, empat lagi atlet Sabah turut menyumbangkan pingat emas menerusi acara masing-masing.

Dalam acara 100 meter T45 (Lelaki), Muhamad Shaban Shahid muncul juara selepas mencatat masa 13.210 saat, sekali gus menyumbangkan emas dalam acara berkenaan.

Mohd Nazizul Hamzah

Sementara itu, Eljoe Gotuoh turut mencatat kejayaan membanggakan apabila merangkul emas dalam acara Lompat Jauh T20 (Lelaki) dengan lompatan sejauh 7.06 meter.

Koleksi emas Sabah kemudian diteruskan menerusi acara lontar peluru lelaki apabila Mohamad Syahzwan William memenangi kategori F20 (Lelaki) dengan catatan 14.44 meter.

Mohamad Syahzwan William

Satu lagi emas disumbangkan oleh Mohamad Faqrul Nizam dalam acara Lontar Peluru F33 (Lelaki) selepas mencatat jarak 6.01 meter.

Dengan tambahan emas daripada acara Para Ping Pong, Sabah kini mengumpul enam emas, sekali gus menjadikan pembukaan saingan Para SUKMA 2026 sebagai permulaan cukup positif buat kontinjen berkenaan.

Selain enam emas, Sabah turut mengutip enam pingat perak dan lima gangsa menerusi beberapa acara termasuk olahraga dan memanah yang menawarkan pingat pada hari pertama saingan.

Sehingga jam 5 petang Ahad, Sabah mendahului carta pungutan pingat dengan enam emas, enam perak dan lima gangsa, meninggalkan tuan rumah di tempat kedua.

RELATED ARTICLES
Sukan

Liga Super : Garrido akui kesilapan Sabah FC, tetapi akur bakat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular