HomeUtamaAnjing berkeliaran ganggu ketenteraman Pekan Keningau

Anjing berkeliaran ganggu ketenteraman Pekan Keningau

Read Time:1 Minute, 29 Second

KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya berhubung masalah anjing berkeliaran bebas di sekitar Pekan Keningau, termasuk memasuki premis makanan.

Pengerusinya, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata masalah berkenaan bukan perkara baharu, malah telah berlaku sejak sekian lama sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pengusaha dan pelanggan premis makanan.

“Kita memahami bahawa haiwan juga mempunyai hak untuk dilindungi, namun pada masa sama aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan orang awam tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pengusaha restoran dan kedai kopi yang terpaksa menghalau anjing daripada memasuki premis mereka, namun tindakan itu hanya bersifat sementara apabila haiwan berkenaan kembali semula.

Katanya, kehadiran anjing berkeliaran bukan sahaja mengganggu pelanggan, malah boleh menimbulkan kebimbangan terhadap kebersihan premis makanan dan keselamatan orang awam, khususnya kanak-kanak.

“Keadaan ini juga boleh menimbulkan risiko kejadian tidak diingini sekiranya terdapat anjing yang agresif atau tidak diketahui status pemilikannya,” katanya.

Menurutnya, Pekan Keningau merupakan pusat tumpuan masyarakat serta antara kawasan penting bagi aktiviti ekonomi dan perniagaan.

“Oleh itu, aspek kebersihan, keselamatan dan keceriaan pekan perlu sentiasa diberi perhatian,” katanya.

Sehubungan itu, PKMB berharap PBT, Ahli Majlis Daerah Keningau dan agensi berkaitan dapat turun padang bagi menilai keadaan sebenar serta mengambil tindakan mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Antara langkah yang dicadangkan termasuk mengenal pasti pemilik anjing, menjalankan operasi pengurusan anjing berkeliaran secara berkala serta menyediakan saluran aduan yang lebih berkesan bagi memudahkan orang awam menyalurkan maklumat.

Yazid turut menyeru pemilik haiwan peliharaan supaya bertanggungjawab memastikan anjing masing-masing tidak berkeliaran tanpa kawalan, khususnya di kawasan tumpuan awam dan premis makanan.

“Ini bukan soal membenci haiwan, tetapi tanggungjawab bersama. Kebajikan haiwan perlu dijaga, begitu juga keselamatan, kesihatan awam dan hak masyarakat untuk menikmati persekitaran yang bersih serta selesa,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Suami ditahan disyaki ugut isteri dengan parang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular