HomeUtamaAktiviti mandi-manda bertukar tragedi, lelaki 19 tahun lemas di Sungai Tagal

Aktiviti mandi-manda bertukar tragedi, lelaki 19 tahun lemas di Sungai Tagal

Read Time:1 Minute, 29 Second

TAWAU: Aktiviti mandi-manda bersama rakan bertukar tragedi apabila seorang lelaki berusia 19 tahun lemas selepas arus Sungai Tagal, Kampung Kijang, Merotai, tiba-tiba menjadi deras, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa bersama 12 rakannya pergi ke sungai berkenaan untuk mandi-manda.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama enam rakannya sedang mandi di kawasan sungai, manakala rakan-rakan lain berada di kawasan berhampiran untuk menyediakan makanan.

“Arus sungai secara tiba-tiba menjadi deras menyebabkan enam rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri ke tebing, manakala mangsa tidak berjaya berbuat demikian sebelum tenggelam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, rakan-rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan daripada penjaga kawasan Sungai Tagal yang bertindak terjun dan menyelam ke dalam sungai bagi mencari mangsa.

“Mangsa akhirnya berjaya ditemukan dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merotai Besar untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, selepas pemeriksaan dan rawatan dilakukan, doktor yang bertugas mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan bedah siasat.

“Hasil pemerhatian dan pemeriksaan fizikal mendapati tiada tanda-tanda berunsur jenayah atau kesan mencurigakan pada tubuh badan mangsa,” katanya.

Wilynton berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), manakala siasatan lanjut dijalankan bagi melengkapkan dokumentasi serta tindakan selanjutnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Major Fredolen Biin di talian 019-8136953.

Dalam pada itu, Wilynton menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan sungai.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil risiko sekiranya mendapati keadaan arus deras atau berubah secara tiba-tiba.

“Keselamatan hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, terutama ketika melakukan aktiviti mandi-manda di kawasan sungai,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Duta AS kunjungi gerai SAFMA di MAHA 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular