TUARAN: Sebuah kenderaan persendirian jenis BMW disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah selepas pemandunya didapati tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dalam Ops Ronda Harian di Jalan Lintas-Inanam.
Pemeriksaan turut mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan berkenaan sudah tamat tempoh, namun insurans masih sah.
JPJ Sabah dalam kenyataan berkata, tindakan itu dijalankan melalui Stesen Penguatkuasa Telipok.
“Susulan kesalahan tersebut, kenderaan itu disita dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa Telipok untuk pemeriksaan lanjut.
“Notis sita turut dikeluarkan, manakala notis saman dikenakan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan,” menurut kenyataan itu kelmarin.
JPJ Sabah berkata, pihaknya akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan tanpa kompromi bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan semua pengguna jalan raya.



