Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Jemaah Menteri pada Rabu lalu bersetuju dan meluluskan prinsip penambahan penyertaan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira nisbah perwakilan kedua-dua wilayah berkenaan.
Katanya, penambahan kerusi itu bukan sekadar meningkatkan jumlah Ahli Parlimen, sebaliknya mesti memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding kedudukan ketika ini.
“Keputusan kita ialah mesti menambah nisbah Sabah-Sarawak. Penambahan itu tidak bermakna sekadar menyamakan kedudukan seperti yang ada sekarang, tetapi mesti meningkatkan nisbah penyertaan Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Anwar berkata, berdasarkan MA63, penyertaan Singapura ketika pembentukan Malaysia menyaksikan Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk satu pertiga daripada keseluruhan perwakilan.
Namun katanya, nisbah itu berubah selepas Singapura keluar daripada Malaysia.
Beliau berkata, mekanisme serta jumlah sebenar penambahan kerusi masih perlu dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerajaan negeri dan parti-parti politik berkaitan.
Katanya, SPR telah dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan dan akan memulakan rundingan berhubung perkara itu.
“Saya tidak pasti sama ada untuk pilihan raya ini boleh sempat atau tidak kerana ia memerlukan muafakat dan proses perlembagaan. Saya tidak mahu mengganggu dari segi proses perlembagaan.
“Tetapi yang penting, keputusan sudah dibuat dan SPR telah dimaklumkan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan turut bersetuju mempercepatkan penambahan jawatan-jawatan penting dalam perkhidmatan awam untuk anak Sabah dan Sarawak, selaras dengan perkara yang diperakui dalam MA63 serta laporan Suruhanjaya Cobbold.
Katanya, pelaksanaan perkara itu akan dibuat secara berfasa, dengan fasa pertama sudah dilaksanakan manakala fasa kedua akan disegerakan.



