Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dijadikan agenda, dasar dan komitmen nasional, bukan lagi dilihat sebagai isu sektoral yang hanya membabitkan Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu penting bagi memastikan perkara yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan dilihat sebagai usaha bersama untuk memperkukuh keutuhan, kestabilan serta pembangunan Malaysia.
Katanya, perkara itu antara penekanan utama dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
“Saya sudah cadangkan supaya perbincangan MA63 itu dijadikan naratif nasional. Ini sangat penting kerana jika tidak, ia akan dilihat seperti isu sektoral dan setiap tahun kita perlu berbincang khas mengenai Sabah dan Sarawak.
“Tidak. Ini adalah komitmen nasional, dasar nasional dan naratif nasional,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
Anwar berkata, pelaksanaan MA63 perlu dilihat dalam konteks pembangunan, kestabilan serta komitmen yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963.
Katanya, rakyat Malaysia perlu melihat perkara itu bukan berdasarkan kepentingan kaum, parti atau kelompok tertentu, sebaliknya sebagai satu wacana untuk memperkukuh keutuhan negara.
“Perkara yang kita janjikan selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963 harus dimeterai sebagai satu naratif nasional,” katanya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyambut baik pendekatan kerajaan Persekutuan untuk menjadikan MA63 sebagai perkara nasional.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi menyelaraskan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan serta memastikan keutuhan Malaysia sebagai sebuah negara terus dipelihara.
“Saya menyokong pendekatan Perdana Menteri bahawa perkara MA63 ini adalah perkara nasional.
“Kita mahu menyelaraskan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan juga keutuhan negara Malaysia sebagai sebuah Malaysia yang akan meneruskan usaha membangunkan negara secara keseluruhannya,” katanya.



