PENAMPANG: Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian kecurian kabel di tepi jalan sekitar Kampung Sugud, di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang merangkap Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Penampang, Asisten Superintenden (ASP) Arisanti Aziz, berkata kejadian itu dikesan kira-kira jam 3 pagi selepas anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Penampang.
Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, anggota MPV bergegas ke lokasi dan mendapati dua lelaki tempatan berusia 20 dan 37 tahun telah ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Polis turut merampas dua alat pemotong kabel serta satu gulung wayar kabel yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Penampang bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan,” katanya.
Arisanti turut menghargai kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan keselamatan diri.



