KOTA KINABALU: Pendirian Kerajaan Negeri Sabah mengenai hak 40 peratus hasil negeri dan penambahan nisbah kerusi Parlimen sewajarnya mendapat sokongan pelbagai pihak kerana kedua-dua perkara itu melangkaui batas politik.
Pengerusi Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata agenda nasional berkenaan tidak seharusnya dijadikan bahan politik kenegerian kerana perkara itu termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, selaku ketua Kerajaan Negeri, terus mempertahankan hak rakyat Sabah menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kota Kinabalu pada 11 September lalu.
Dalam mesyuarat itu, Hajiji menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya melengahkan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah, selain usaha menambah nisbah kerusi Parlimen bagi Sabah.
Masiung, yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), mengalu-alukan persetujuan Anwar untuk meminda Perlembagaan bagi membuka ruang kepada penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
“Rakyat Sabah sudah lama menunggu pelaksanaan kedua-dua perkara dalam MA63 itu kerana pihak pembangkang juga turut mendapat manfaat.
“Penambahan kerusi itu penting bagi memastikan nisbah perwakilan wilayah Borneo lebih tinggi di dalam Dewan Rakyat,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, usaha Ketua Menteri Sabah itu wajar disokong oleh seluruh rakyat agar Sabah dan Sarawak secara kolektif dapat memegang sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen di Dewan Rakyat.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengembalikan kuasa dan kedudukan asal Sabah ketika pembentukan Malaysia.
Pada ketika ini, daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen Malaysia, Sabah diwakili 25 kawasan Parlimen manakala Sarawak 31.
Masiung, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, menegaskan bahawa RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini merupakan Geran Khas Interim dan bukannya penyelesaian terhadap hak 40 peratus hasil Sabah.
Justeru, menurut Masiung, Hajiji mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah menerusi rundingan.
Tegas beliau, rundingan secara diplomasi jauh lebih berkesan berbanding pendekatan konfrontasi yang boleh menjejaskan hubungan dua hala antara Sabah dan Putrajaya.



