KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Ketua UMNO Bahagian Sepang, Norazli Mohd Nordin memohon maaf secara terbuka susulan kenyataannya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu lalu yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Kristian.
Madius berkata, sama ada kenyataan berkenaan dibuat sebagai jenaka atau sindiran, ia tetap tidak wajar kerana melibatkan Kitab Suci serta golongan paderi dan biarawati Katolik.
“Sama ada ia dimaksudkan sebagai jenaka ataupun sindiran, kenyataan tersebut amat tidak wajar dan menyinggung perasaan.
“Kitab Suci, paderi Katolik dan biarawati tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan sebuah parti politik utama negara,” katanya dalam kenyataan.
Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, Norazli sewajarnya mengakui kesilapan dalam membuat kenyataan sedemikian dan menarik balik rujukan yang dibuat terhadap Mazmur 129.
“Penceramah berkenaan sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya, menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129 dan memohon maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian,” katanya.
Beliau menegaskan perkara berkaitan kitab suci dan institusi keagamaan perlu dihormati serta tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka atau sindiran yang boleh menyinggung sensitiviti penganut agama.
Gesaan itu dibuat susulan ucapan Norazli pada PAU minggu lalu yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu berhubung rujukan yang dibuatnya terhadap agama Kristian.



