HomePendapatKupasan : Ekonomi Biru Sabah Pacu Pembangunan Negeri

Kupasan : Ekonomi Biru Sabah Pacu Pembangunan Negeri

Read Time:4 Minute, 0 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Ekonomi Biru bakal menjadi enjin pembangunan yang akan melonjakkan prestasi ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah. Dengan rangka kerja yang jelas dan pelaksanaan yang mampan, Ekonomi Biru Sabah boleh memberi sumbangan signifikan berterusan jangka panjang.     

Beberapa Minggu lalu, semasa acara Sabah International Expo 2026 (SIE2026), Ketua Menteri Sabah dilaporkan telah menjemput pelabur untuk menerokai peluang di dalam Ekonomi Biru Sabah.

Beliau menegaskan matlamat Kerajaan Sabah ialah untuk memastikan sumber Ekonomi Biru dibangunkan secara mampan dan melindungi ekosistem marin, sambil membina peluang ekonomi.

Menurut beliau, Ekonomi Biru Sabah menyediakan banyak peluang di dalam pelbagai sektor, antaranya: perikanan dan akuakultur, bioteknologi marin dan perkhidmatan maritim, pelancongan pantai dan pulau, tenaga boleh baharu marin, logistik, serta pembinaan dan pembaikan kapal.

Di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (2026 – 2030), Ekonomi Biru telah di tetapkan sebagai salah satu tumpuan utama, seiringan dengan Pengdigitalan & Kecerdasan Buatan dan Inklusiviti Pembangunan. Secara amnya, Ekonomi Biru ditakrifkan sebagai proses penerokaan, pembangunan dan penuaian sumber hidup dan tidak hidup yang meliputi sungai dan lautan secara regeneratif.

Bagi tujuan berkenaan, rangka kerja Ekonomi Biru Sabah telah menggariskan lima komponen:

  • Penuaian Sumber Hidup
  • Pengekstrakan Sumber Tidak Hidup dan Penjanaan Sumber Baharu
  • Perdagangan dan Perniagaan Di Dalam Dan Sekitar Lautan
  • Tindak Balas Terhadap Cabaran Kesihatan Lautan
  • Sungai

Berdasarkan maklumat di laman sesawang rasmi Sabah Blue Economy (https://blueeconomy.sabah.gov.my), di bawah komponen Penuaian Sumber Hidup, salah satu fokus melibatkan industri farmaseutikal dan kimia, dengan mengenal pasti sumber biologi seperti terumbu karang, rumpai laut, tumbuhan pesisir pantai dan lain-lain kehidupan perikanan dan marin di Sabah.

Seterusnya, maklumat berkenaan disimpan di dalam Sabah Biodiversity Integrated Information System (SaBIIS), yang dibangunkan di bawah Sabah’s Biotechnology Guidelines 2024-2034.

Dengan pengumpulan maklumat tersebut, Sabah berpotensi untuk menceburi dan menjadi pemain utama di dalam industri farmaseutikal dan nutraseutikal.

Sumber: Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (2026 – 2030)

Manakala, komponen Pengekstrakan Sumber Tidak Hidup dan Penjanaan Sumber Baharu melibatkan fokus kepada dua perkara utama: perlombongan dasar laut untuk mengekstrak mineral seperti manganese, copper, cobalt, zinc, rare earth metals, serta pasir laut; dan tenaga boleh baharu seperti Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) yang boleh menjana elektrik secara bersih dan mampan tanpa menghasilkan gas rumah hijau (GHG).

Pada bulan Julai 2026, semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah berkata Sabah berpotensi besar untuk memanfaatkan OTEC kerana kajian menunjukkan sekitar 70 – 75% OTEC negara berada di Sabah.

Mengguna pakai OTEC ini selari dengan sasaran Kerajaan Sabah untuk meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu kepada 1,200 MegaWatt (MW) ataupun 37% pada 2030, berbanding 307 MW (16%) ketika ini.

Di samping itu, bagi komponen Perdagangan dan Perniagaan Di Dalam Dan Sekitar Lautan, antara lain ianya melibatkan aktiviti penyahgaraman atau desalination sebagai salah satu penyelesaian kepada isu bekalan air bersih di Sabah, yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber freshwater yang terhad.

Sementara itu, komponen Tindak Balas Terhadap Cabaran Kesihatan Lautan menekankan aspek perlindungan, kemampanan dan keselamatan, yang merangkumi pengawasan lautan, perlindungan habitat dan ekosistem pantai, serta penyerapan karbon atau carbon sequestration.

Pada bulan April 2026, Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya memaklumkan bahawa Sabah merupakan wilayah pertama di Malaysia yang menerajui usaha Ekonomi Biru secara rasmi, setelah konsepnya dicadangkan oleh United Nations (UN) pada tahun 2012 dan diterima pakai oleh ASEAN pada tahun 2021.

Beliau turut memaklumkan bahawa walaupun Bank Dunia hanya mentakrifkan Ekonomi Biru sebagai penggunaan mampan sumber lautan untuk mendokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan punca pendapatan, sungai disertakan di dalam rangka kerja Ekonomi Biru Sabah.

Menurut beliau, sehingga kini Kerajaan Sabah telah melaksanakan beberapa perkara bagi menjayakan Ekonomi Biru, antaranya:

  • meluluskan dua undang-undang, Climate Action and Carbon Credit Governance Enactment dan Renewable Energy Commercial Enactment
  • memperolehi fasiliti kewangan RM 1 bilion Sukuk Biru daripada Maybank untuk membiayai projek-projek Ekonomi Biru
  • meneroka pembangunan Zon Ekonomi Biru dengan Kalimantan Utara, berdekatan Tawau
  • menandatangani perjanjian dengan Universiti Malaysia Sabah dan rakan strategik industri dari Jepun untuk membina kemahiran modal insan tempatan

Pada masa sama, perancangan dan pelaksanaan Ekonomi Biru Sabah mendapat sokongan kukuh daripada Kerajaan Malaysia. Pada pertengahan bulan Ogos 2026, Menteri Kewangan II Malaysia berkata Ekonomi Biru Sabah akan diberi penelitian di dalam Belanjawan Malaysia 2027, terutamanya di dalam sektor perikanan, akuakultur, pemprosesan hiliran dan pelancongan marin.

Penelitian ini melibatkan keperluan pembiayaan dan pembangunan infrastruktur. 

Usaha Kerajaan Sabah ini selari dengan hasrat Kerajaan Malaysia untuk melonjakkan Ekonomi Biru sebagai salah satu bidang strategik dan sumber pertumbuhan ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Sememangnya, Sabah memiliki kekayaan sumber dan aset Ekonomi Biru yang sangat besar, antara lain merangkumi 37,300 kilometer persegi lautan, 2,300 kilometer persegi pesisir pantai dan 386,000 hektar paya bakau. Sekiranya aset Ekonomi Biru ini diterokai secara mampan, sudah pasti ianya dapat memacu pembangunan, meningkatkan pendapatan, dan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah. 

RELATED ARTICLES
Pendapat

Isu Baja Padi Yang Meresahkan Rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular