Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan mengedar lebih 1.4 kilogram methamphetamine di Kepayan, Mei lalu.
Tertuduh, Roel Bakri, 27, seorang pekerja servis penghawa dingin, dan Karl Ryan Dee Muniany, 26, yang tidak bekerja, mengaku tidak bersalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya dengan niat bersama didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 1,418.1 gram di kawasan parkir kereta Lorong Pusat Komersil 88, Kepayan, kira-kira jam 7 malam pada 11 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 12 Oktober ini untuk pengurusan kes praperbicaraan (PTCM).
Roel yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tidak diwakili peguam, manakala Karl, seorang warga tempatan, diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Samira Khalili.
Tamat.



