HomeUtama63/63 bukan sekadar angka, hayati makna pembentukan Malaysia – Armizan

63/63 bukan sekadar angka, hayati makna pembentukan Malaysia – Armizan

Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia yang memasuki tahun ke-63 perlu dilihat bukan sekadar sebagai keistimewaan angka 63/63, sebaliknya menjadi ruang untuk masyarakat memahami dan menghayati sejarah serta makna sebenar pembentukan Persekutuan Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Malaysia yang dibentuk pada 1963 kini genap 63 tahun, namun tarikh 16 September hanya diangkat sebagai detik penting nasional selepas lebih 40 tahun negara ini ditubuhkan.

Menurut beliau, sebelum itu tumpuan sambutan peringkat nasional setiap tahun lebih menjurus kepada 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan.

“Bilamana kali pertama dalam sejarah tanah air sebuah pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dibentuk pasca pilihan raya umum 2008 tidak mendapat majoriti dua pertiga, bermula angin perubahan kepada landskap politik nasional.

“Antaranya kesedaran untuk lebih menilai dan memaknai aspirasi rakan kongsi di Wilayah Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, meskipun terdapat suara dan cadangan awal daripada pihak tertentu yang diketepikan, akhirnya Kerajaan Persekutuan bersetuju menjadikan Hari Malaysia sebagai sambutan rasmi negara bermula 2010.

Beliau berkata, penghayatan terhadap sejarah pembentukan Malaysia tidak seharusnya terhad kepada kefahaman mengenai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kontrak sosial antara tiga kaum utama serta kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

Sebaliknya, katanya, ia turut menuntut penerimaan sepenuhnya terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas penting pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Bersempena 63/63 tahun ini, marilah kita bersama memahami nilai dan makna Hari Malaysia dengan menerima kewujudan salah satu terma perjanjian yang dimeterai para pendiri tanah air yang terpahat dalam Artikel VIII, MA63,” katanya.

Artikel VIII MA63 antara lain menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak akan mengambil tindakan perundangan, eksekutif atau tindakan lain yang diperlukan bagi melaksanakan jaminan, aku janji dan syor yang terkandung dalam Bab 3 serta Lampiran A dan B Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang ditandatangani pada 27 Februari 1963, setakat mana ia tidak dilaksanakan melalui peruntukan nyata dalam Perlembagaan Malaysia.

Menurut Armizan, terma berkenaan merupakan penegasan terhadap komitmen dan tanggungjawab semua pihak yang bersetuju memeterai perjanjian bagi membentuk sebuah Persekutuan Malaysia.

“Melangkah ke hadapan, negara ini tidak memerlukan perjanjian baharu ataupun apa yang disebutkan sebagai ‘new deal’ oleh sesetengah pihak.

“Ini kerana hakikatnya terma-terma perjanjian secara tersurat menzahirkan MA63 itu tidak akan ternoktah sebaik tergubalnya Perlembagaan Persekutuan.

“MA63 itu terus hidup dan komitmen serta tanggungjawab yang digariskan itu kekal relevan dan mengikat dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Beliau turut berharap Malaysia terus menjadi sebuah negara yang lebih utuh dan maju, selain menjamin kehidupan yang makmur serta selamat untuk seluruh rakyat.

“Moga Malaysia lebih utuh dan maju, tanah air yang makmur dan selamat untuk sekalian rakyatnya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sokongan ibu bapa pemangkin kejayaan pendidikan anak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular