TAWAU: Polis menahan seorang wanita kurang 24 jam selepas dia dipercayai mencuri sejumlah wang tunai milik ahli keluarganya di sebuah rumah di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar, di sini.
Suspek berusia lingkungan 41 tahun yang juga adik kandung mangsa ditahan di perkarangan Balai Polis Bombalai susulan laporan berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di rumah sebelum dimaklumkan oleh ahli keluarganya bahawa suspek mengambil wang tunai daripada dompet miliknya di dalam bilik tidur.
“Perbuatan tersebut disedari sebelum berlaku sedikit pergelutan antara mangsa dan suspek, sebelum suspek melarikan diri keluar dari rumah. Suspek turut dipercayai sering mengambil barang-barang berharga di dalam rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, susulan laporan yang dibuat di Balai Polis Bombalai, sepasukan polis dari balai berkenaan berjaya mengesan dan menahan suspek di perkarangan Balai Polis Bombalai.
Wanita warga tempatan itu kemudian ditahan untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.



