KOTA KINABALU: Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) dan MSH Mega Tech Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah awal meneroka pembangunan MAGEBS (Sabah) Smart Card dan ekosistem digital yang menghubungkan pelancongan, komuniti serta usahawan tempatan.

MoU berkenaan berlangsung di Sutera Harbour Marina Club, Magellan Sutera, di sini pada Sabtu (19 Sep).
Kerjasama itu merupakan kesinambungan perbincangan dan sesi penerangan antara kedua-dua pihak mengenai potensi penggunaan teknologi digital bagi memperluas jaringan komuniti serta meningkatkan penyertaan usahawan tempatan dalam ekosistem pelancongan dan ekonomi digital Sabah.
Yang Dipertua MAGEBS, Datuk Abdullah Sibil, berkata kerjasama berkenaan bukan sekadar membangunkan sebuah kad, sebaliknya berpotensi menjadi platform yang menghubungkan pelbagai komponen dalam ekosistem Sabah.
“Bagi MAGEBS, ini bukan sekadar mengenai sebuah kad. Yang lebih penting ialah ekosistem yang boleh dibina di sebalik kad tersebut dan bagaimana teknologi dapat digunakan untuk menghubungkan pelancong, komuniti, usahawan, merchant serta pengalaman budaya Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata MAGEBS mempunyai jaringan melibatkan 36 persatuan etnik Bumiputera Sabah yang boleh menjadi salah satu kekuatan dalam meneroka peluang baharu berkaitan ekonomi digital dan pelancongan.
Menurutnya, kerjasama itu turut mencerminkan usaha MAGEBS memperkukuh peranan masyarakat sivil sebagai penghubung antara komuniti, sektor swasta dan institusi kerajaan, khususnya dalam menyediakan ruang kepada masyarakat serta usahawan tempatan menyertai perkembangan ekonomi Sabah.
MAGEBS (Sabah) Smart Card kini diterokai sebagai satu ekosistem yang berpotensi merangkumi penggunaan digital untuk pelancong, jaringan peniaga dan perniagaan tempatan, penyertaan usahawan MAGEBS, promosi produk dan perkhidmatan tempatan serta pengalaman budaya dan komuniti.
Ia turut berpotensi mengintegrasikan teknologi digital bagi menyokong ekosistem pelancongan Sabah.
MAGEBS memaklumkan pembangunan inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan tertakluk kepada proses penyelarasan teknikal, komersial serta tadbir urus yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Sehubungan itu, MoU berkenaan bukan pelancaran rasmi Sabah Smart Card, sebaliknya menjadi asas kepada fasa seterusnya bagi memperincikan struktur pelaksanaan, kerjasama komersial, penyelarasan teknikal serta persediaan ke arah pelaksanaan.
Kedua-dua pihak dijangka meneruskan perbincangan menerusi mekanisme penyelarasan bersama bagi memastikan setiap komponen kerjasama dapat dibangunkan secara teratur dan memberi manfaat kepada ekosistem pelancongan, usahawan serta komuniti Sabah.



