Oleh Erdie Ab Wahid
PENAMPANG: Sebuah Perodua Myvi yang tular di media sosial selepas terlibat dalam kejadian dikejar sepasukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah baru-baru ini adalah antara 13 kenderaan yang disita dalam Ops Ekstrem.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata operasi yang dilaksanakan sejak 6 September lalu itu memberi fokus kepada kesalahan teknikal serta pengubahsuaian kenderaan secara ekstrem yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Katanya, sebanyak 24 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi berkenaan, manakala 81 notis dikeluarkan.
“Sebanyak 24 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Ekstrem ini.
“JPJ telah mengeluarkan 81 notis merangkumi 34 notis JPJ 22 (saman), 19 notis Seksyen 61(1) iaitu arahan periksa, 15 notis PG1 bagi larangan penggunaan kenderaan dan 13 notis di bawah Seksyen 64(1) iaitu kenderaan yang disita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat JPJ Sabah, di sini, hari ini.
Mohd Harris berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk pengubahsuaian bentuk dan peralatan kenderaan secara ekstrem, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, kesalahan berkaitan sistem ekzos, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta penggunaan cermin gelap.
Menurutnya, kesalahan berkaitan ekzos antara yang banyak dikesan dalam operasi berkenaan sehingga menimbulkan gangguan bunyi dan ketenteraman awam.
“Kesalahan ekzos ini adalah antara kesalahan yang banyak kita dapati hingga menimbulkan masalah bunyi bising kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pengubahsuaian kenderaan dikawal selia di bawah Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, katanya, pemilik kenderaan perlu memastikan sebarang pengubahsuaian yang dilakukan mematuhi ketetapan dan spesifikasi teknikal ditetapkan.
“Dalam hal ini, kita telah menyita 13 kenderaan iaitu 12 kereta dan satu motosikal bagi tindakan lanjut di bawah peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Harris berkata, tindakan penguatkuasaan turut dilaksanakan susulan aduan orang ramai selain hasil pemerhatian JPJ terhadap kesalahan pengubahsuaian kenderaan yang semakin ketara di jalan raya.
Katanya, kesalahan berkenaan bukan sahaja boleh mengganggu ketenteraman awam, malah berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kesalahan ini telah menimbulkan kegusaran orang ramai kerana ia menyebabkan gangguan bunyi dan juga ketenteraman masyarakat.
“Jika kita tidak ambil tindakan, ia akan berlarutan dan kesalahan ini akan bertambah,” katanya. SABAH MEDIA



