KOTA KINABALU: Seramai 272 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui laluan laut dalam program pemindahan tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Mereka yang ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dipindahkan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan feri komersial.
Menurut JIM Sabah, kumpulan itu terdiri daripada 166 lelaki dewasa, 63 perempuan dewasa, 17 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan berusia antara enam bulan hingga 68 tahun.
“Kanak-kanak yang menyertai program pemindahan itu turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Sebelum itu, pada 15 September lalu, JIM Sabah turut memindahkan tiga tahanan PATI warga Filipina dari Depot Imigresen Papar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan penerbangan terus ke Manila.
Mereka terdiri daripada dua lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa.
JIM Sabah berkata, setakat ini seramai 5,233 tahanan PATI pelbagai warganegara sudah dipindahkan ke negara asal masing-masing.
Daripada jumlah itu, 3,455 adalah warga Filipina, Indonesia (1,488), Pakistan (120), China (127), Vietnam (21) dan lain-lain warganegara (22).
Kesemua tahanan berkenaan sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan serta mempunyai dokumen perjalanan (Travel Document) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal.
JIM Sabah turut menyeru semua pihak supaya lebih peka terhadap persekitaran dalam komuniti serta tidak bersekongkol, melindungi atau menggaji PATI.
Orang ramai juga diminta segera melaporkan kegiatan PATI melalui saluran rasmi JIM Sabah menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO).



