KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah mengeluarkan lima notis terhadap sebuah Perodua Viva berwarna hitam selepas kenderaan itu dikesan melakukan beberapa kesalahan lalu lintas dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Jalan Tuaran, di sini, pada Sabtu.
JPJ dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, tindakan itu dilakukan oleh pasukan SPK Telipok selepas kenderaan berkenaan dikesan melakukan beberapa kesalahan, termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL).
Kenderaan berkenaan turut dikesan melakukan kesalahan gagal berhenti serta dipandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Susulan itu, JPJ mengeluarkan lima notis temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
JPJ Sabah turut memberi amaran bahawa tindakan lebih tegas boleh diambil sekiranya kenderaan berkenaan dikesan mengulangi kesalahan sama, termasuk kemungkinan penyitaan kenderaan.
Tindakan sewajarnya juga boleh dikenakan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, JPJ Sabah menegaskan bahawa kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan merupakan kesalahan serius yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Jabatan itu mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk melakukan pemanduan agresif atau tindakan yang boleh membahayakan nyawa orang lain.
Pengguna jalan raya turut diingatkan supaya memastikan LKM kenderaan masih sah, mempunyai perlindungan insurans serta lesen memandu yang masih berkuat kuasa sebelum memulakan perjalanan.
JPJ Sabah berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara. – SABAH MEDIA



