HomeUtamaParlimen Sepanggar dicadang dipecah dua, wujudkan Parlimen Inanam - Mustapha

Parlimen Sepanggar dicadang dipecah dua, wujudkan Parlimen Inanam – Mustapha

Read Time:2 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud mencadangkan agar kawasan Parlimen Sepanggar dipecahkan kepada dua bagi mewujudkan satu lagi kawasan Parlimen, yang dicadangkan dikenali sebagai Parlimen Inanam.

Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira jumlah pengundi di Sepanggar yang kini mencecah kira-kira 130,000 orang, sekali gus menjadikannya antara kawasan Parlimen dengan jumlah pengundi paling ramai di Sabah.

Menurutnya, sekiranya penambahan bilangan kerusi Parlimen di Sabah dilaksanakan, Sepanggar wajar diberi keutamaan untuk dipecahkan kepada dua kawasan.

“Saya cadangkan untuk Sepanggar ini kita bahagi dua. Mungkin satu Parlimen Sepanggar dan yang kedua mungkin Parlimen Inanam.

“Untuk Parlimen Inanam, mungkin kita boleh letakkan DUN Menggatal dan DUN Kolombong manakala Parlimen Sepanggar boleh dikekalkan dengan DUN Darau dan Karambunai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program Pesta Kuih Bulan sempena Hari Malaysia di Parlimen Sepanggar, di sini, malam tadi.

Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata, cadangan itu bagaimanapun masih di peringkat pandangan dan belum menjadi keputusan muktamad, termasuk berkaitan jumlah keseluruhan kerusi Parlimen yang perlu diwujudkan di Sabah.

Katanya, perkara itu perlu diteliti dan dikaji oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdasarkan fakta serta data berkaitan jumlah pengundi dan representasi setiap kawasan.

“Saya kena berbincang dahulu. Saya perlukan fakta dan angka kerana saya tidak boleh begitu sahaja membuat keputusan atau memberikan angka tertentu.

“Akhirnya nanti saya perlu menyediakan kertas pertimbangan untuk dibincangkan di Kabinet dan kita akan mencadangkan jumlahnya berdasarkan fakta,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi SPR pada Selasa ini bagi membincangkan secara khusus proses penambahan bilangan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, pertemuan itu penting bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai proses yang perlu dilalui serta garis masa pelaksanaan sekiranya cadangan berkenaan dipersetujui.

“Saya mahu perkara ini bukan hanya berada di peringkat dasar tanpa pelaksanaan. Tugas saya sebagai menteri yang bertanggungjawab adalah memastikan dasar ini dapat dilaksanakan.

“Saya mahu tahu apakah proses-proses yang perlu dibuat dan timeline-nya. Mungkin saya akan minta SPR membuat pembentangan dan berdasarkan pembentangan itu, kita boleh bawa kepada Jemaah Menteri untuk perbincangan awal,” katanya.

Mustapha berkata, perbincangan dengan SPR itu bukan hanya tertumpu kepada Sepanggar, sebaliknya melibatkan isu keseluruhan penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.

Katanya, cadangan tersebut selari dengan persetujuan secara dasar dalam mesyuarat tindakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah serta Premier Sarawak.

Beliau berkata, penambahan kerusi itu perlu mengambil kira nisbah representasi Sabah dan Sarawak di Parlimen, termasuk semangat untuk mencapai satu pertiga perwakilan.

“Akhirnya nanti adalah kita mahu membawa suara rakyat ke Parlimen. Sabah dan Sarawak mesti mempunyai representasi yang sewajarnya. Kita mahu apa-apa keputusan dasar besar yang dibuat di Parlimen turut mendengar suara hati rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, jumlah sebenar kerusi yang perlu diwujudkan masih belum ditetapkan kerana terdapat pelbagai cadangan, termasuk 35, 36 dan 37 kerusi.

Justeru, katanya, kajian dan penelitian lanjut diperlukan sebelum sebarang jumlah rasmi dicadangkan.  SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

PDRM Beaufort perkasa kesedaran jenayah dalam kalangan pelajar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular