KOTA KINABALU: Sebanyak 2,197 benih ketam bakau dilepaskan ke kawasan ekosistem paya bakau di Kota Kinabalu Wetland Ramsar Site (KKWRS), baru-baru ini, sebagai usaha menyokong pemuliharaan biodiversiti marin dan kelestarian ekosistem paya bakau.
Program berkenaan dianjurkan Institut Marin Borneo (IMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Sabah dan Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS).
Majlis perasmian pelepasan benih ketam itu disempurnakan Timbalan Pengarah Perikanan (Pembangunan), Jabatan Perikanan Negeri Sabah, Irman Isnain yang mewakili Pengarah Jabatan; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) IMB UMS, Prof. Madya Dr. Juanita Joseph yang mewakili Dekan IMB; dan Setiausaha Kehormat SWCS, Azalene Amelia Kamal Quadra yang mewakili Presiden persatuan berkenaan.
Acara kemuncak program dimulakan dengan penyerahan 2,197 benih ketam kepada SWCS selaku pengurus tapak Ramsar berkenaan, sebelum benih tersebut dilepaskan secara rasmi ke kawasan ekosistem paya bakau.

Dalam ucapannya, Juanita berkata ketam bakau memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan rantaian makanan ekosistem paya bakau, selain membantu menyokong kelestarian populasi spesies berkenaan di Sabah, khususnya di kawasan pantai timur.
Katanya, perubahan iklim, eksploitasi berlebihan dan kemerosotan habitat semula jadi telah memberi tekanan terhadap populasi ketam bakau, sekali gus menjadikan usaha pemuliharaan serta pemulihan sumber perikanan semakin penting.
“Ancaman perubahan iklim, eksploitasi berlebihan dan kemerosotan habitat semula jadi telah memberi tekanan yang hebat kepada populasi spesies ini.
“Oleh itu, inisiatif pelepasan benih pada hari ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi merupakan satu langkah proaktif dan berasaskan pendekatan saintifik ke arah kelestarian sumber perikanan negeri,” katanya.
Beliau berkata, benih ketam berkualiti yang dihasilkan menerusi kepakaran dan kerjasama antara hatcheri IMB dan Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah (PPIMS), Jabatan Perikanan Negeri Sabah, kini dikembalikan ke habitat asalnya bagi menyokong usaha pemulihan populasi ketam bakau secara semula jadi.
Menurutnya, pemilihan KKWRS sebagai lokasi pelepasan bertepatan dengan peranannya sebagai kawasan pemuliharaan ekosistem paya bakau yang terletak di tengah bandar.
“Ekosistem paya bakau di kawasan ini menyediakan habitat asuhan (nursery ground) yang sesuai untuk anak ketam berlindung dan membesar, sekali gus menyokong kelangsungan hidup spesies berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, kejayaan penganjuran program serta pelaksanaan projek penyelidikan menerusi inisiatif pemindahan ilmu (knowledge transfer) turut disokong kerjasama berterusan dan kemudahan yang disediakan Jabatan Perikanan Negeri Sabah.
UMS turut menyatakan komitmen untuk memperluas jaringan kerjasama berkenaan bagi meneruskan usaha penyelidikan dan pemuliharaan sumber marin pada masa hadapan.



