KOTA KINABALU: Prestasi sistem bekalan elektrik Sabah menunjukkan peningkatan ketara sejak negeri ini mengambil alih kuasa kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pengambilalihan kuasa berkenaan membolehkan Sabah mempercepatkan pelaksanaan projek serta penambahbaikan sistem bekalan elektrik tanpa perlu menunggu kelulusan pihak berkuasa Persekutuan seperti sebelum ini.
“Dahulu, kita terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan, tetapi sejak kita mengambil alih, kita boleh melaksanakannya sendiri dan mempertingkatkan sistem bekalan elektrik kita dengan lebih cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tenaga Sabah (MTS) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Sabah mengambil alih kuasa kawal selia sektor elektrik dan tenaga boleh baharu susulan kelulusan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Pindaan ECoS 2024 oleh Dewan Undangan Negeri pada 3 Januari 2024.
Setahun sebelumnya, Sabah turut mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas di negeri ini.
Hajiji berkata jidar simpanan penjanaan Sabah dijangka mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini, meningkat daripada paras terendah lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos lalu.
Pada masa sama, Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) turut menunjukkan peningkatan apabila tempoh gangguan berkurang daripada 598 minit pada 2023 kepada 226 minit setakat Julai tahun ini.
Menurutnya, perkembangan itu hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif penambahbaikan sistem Grid secara berterusan.
Beliau berkata pengukuhan sektor tenaga Sabah perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk memastikan kesiapsiagaan infrastruktur penghantaran dan pembahagian bagi meningkatkan kebolehpercayaan serta keanjalan sistem.
“Ini selaras dengan Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) serta sasaran mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035,” katanya.
Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MTS ialah semakan Kajian Unjuran Beban Jangka Panjang (LTDF2026) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik (PDP2026) bagi tempoh 10 tahun, bagi memastikan perancangan kapasiti sentiasa dapat memenuhi keperluan permintaan tenaga.
Bagi memperkukuh bekalan elektrik di Pantai Timur, Hajiji berkata cadangan pembangunan loji janakuasa gas di Sandakan dan Tawau turut dirancang bagi menggantikan loji berasaskan diesel dan Medium Fuel Oil (MFO) yang berkos tinggi.
“Penambahan kapasiti Solar Berskala Besar (LSS) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dilaksanakan melalui proses bidaan kompetitif juga akan menyokong pengukuhan sistem penjanaan,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan LSS dan BESS turut memberi tumpuan kepada peningkatan kebolehpercayaan penjanaan elektrik di Pantai Timur.
“Setiap keputusan MTS hendaklah dibuat secara seimbang dan berhemah dengan mengutamakan keterjaminan bekalan, kos sistem yang optimum, keperluan industri serta kepentingan pengguna untuk menikmati bekalan elektrik pada kadar yang berpatutan,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), selaku badan kawal selia sektor tenaga negeri, akan terus memantau pelaksanaan projek yang telah diluluskan bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik Sabah.



