HomeUtamaLelaki warga asing ditahan berhubung kes cabul remaja

Lelaki warga asing ditahan berhubung kes cabul remaja

Read Time:1 Minute, 12 Second

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis beberapa jam selepas disyaki terbabit dalam kes cabul membabitkan remaja perempuan berusia 13 tahun di Kalabakan, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 9.45 pagi  oleh sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan selepas menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi, mangsa yang berada di sebuah rumah kedai mendakwa terdengar bunyi seperti kucing sebelum seorang lelaki tiba-tiba membuka langsir dengan mukanya ditutup dan menghampiri mangsa.

“Lelaki terbabit kemudian didakwa naik ke tilam tempat mangsa berada sebelum mangsa menjerit meminta pertolongan dan melawan apabila suspek cuba mendekatinya.

“Mangsa turut mendakwa ditendang oleh lelaki terbabit sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Rosdi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan menjalankan tindakan susulan sebelum berjaya menahan suspek di kawasan Kedai-Kedai Bulatan Kalabakan.

Suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan seksual yang melibatkan kanak-kanak dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan tersebut.

Ibu bapa dan masyarakat turut dinasihatkan supaya sentiasa mengambil berat mengenai keselamatan kanak-kanak serta segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui atau mengesyaki sebarang perlakuan yang boleh mengancam keselamatan mereka.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah Electricity bebas pertuduhan gagal pastikan keselamatan pekerja

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular