HomeUtamaGara-gara cinta, akhirnya ke penjara

Gara-gara cinta, akhirnya ke penjara

Read Time:2 Minute, 40 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Dua kunjungan ke motel bersama teman wanita berusia 15 tahun berakhir dengan hukuman keseluruhan 32 tahun penjara dan enam sebatan buat seorang lelaki.

Hakim Mahkamah Sesyen Monica Linsua menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Ashriff Haikal Samlli, 24, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol dan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berkenaan, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Ashriff dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dua sebatan kerana merogol remaja yang ketika itu berusia 15 tahun tujuh bulan di sebuah bilik motel di Sipitang pada 23 Januari lalu.

Dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua kerana merogol mangsa sama di motel berkenaan pada 24 Mac lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di tempat sama pada 23 Januari lalu.

Bagi pertuduhan keempat, dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan kerana melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di tempat sama pada 24 Mac lalu.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 26 Mac lalu, menjadikan hukuman penjara yang perlu dijalani tertuduh ialah 10 tahun sahaja dan bukannya 32 tahun.

Bagi pertuduhan merogol, Mohd Ashriff disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal pula, dia disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa membuat laporan polis pada 25 Mac lalu selepas mendapati anaknya tiada di rumah antara jam 2 petang hingga 8 malam pada hari sebelumnya.

Selepas mangsa pulang, ibunya ternampak kesan merah pada leher remaja itu sebelum mangsa mendedahkan bahawa dia melakukan hubungan seksual dengan tertuduh yang merupakan teman lelakinya.

Siasatan polis mendapati pada 23 Januari lalu, tertuduh membawa mangsa ke sebuah motel di Sipitang dan mendaftar bilik menggunakan namanya sendiri. Dia sekali lagi membawa mangsa ke motel sama pada 24 Mac lalu, namun menggunakan bilik berbeza.

Pemeriksaan doktor Pakar Obstetrik dan Ginekologi terhadap mangsa ada 26 Mac lalu turut mengesahkan terdapat koyakan lama pada hymen mangsa (kedudukan arah jam 3 dan 9) serta ada kesan lebam di bahagian leher kiri mangsa.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dan supaya tidak dipenjarakan dengan alasan perbuatannya merupakan satu kesilapan dan dia tidak berniat jahat.

Dia turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua ibu bapanya bergantung sepenuhnya kepadanya dan sekiranya dipenjarakan, dia akan kehilangan pekerjaan serta sumber pendapatan untuk menyara mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir dalam hujah pemberatan memohon mahkamah mengambil kira usia mangsa yang baru 15 tahun dan masih belum matang dari segi emosi, fizikal serta psikologi.

Beliau berkata, kesalahan itu bukan berlaku sekali, sebaliknya dilakukan terhadap mangsa sama pada dua tarikh berasingan dan melibatkan kesalahan rogol serta amang seksual fizikal.

Pendakwaan turut meminta mahkamah mengambil kira kesan fizikal dan psikologi terhadap mangsa, selain kepentingan awam serta keperluan menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan.

Fazriel menegaskan bahawa undang-undang perlu menjadi benteng tegas dalam melindungi kanak-kanak, justeru memohon hukuman berat dan perintah sewajarnya dikenakan terhadap tertuduh.

RELATED ARTICLES
Utama

Pengesanan awal penting elak penyakit vaskular tidak disedari – Julita

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular