HomeUtamaPelajar Sabah di Mesir diingatkan fokus pengajian, elak pengaruh negatif

Pelajar Sabah di Mesir diingatkan fokus pengajian, elak pengaruh negatif

Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di negara Timur Tengah diingatkan supaya sentiasa menjaga diri, memberi tumpuan kepada pengajian serta tidak mudah terpengaruh dengan budaya atau fahaman yang tidak selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Ramlan Awang Ali, berkata pelajar yang dihantar ke Mesir perlu menggunakan peluang berkenaan untuk menimba ilmu dan pengalaman yang kemudiannya dapat dimanfaatkan apabila mereka kembali ke Sabah.

Beliau berkata, pelajar juga perlu berhati-hati sepanjang berada di luar negara dan tidak mudah terikut-ikut dengan pengaruh yang boleh menjejaskan tumpuan mereka terhadap pengajian.

“Pesanan kita, mudah-mudahan anak-anak pelajar yang kita hantar ini belajarlah rajin-rajin, baik-baik. 

“Jangan mudah terpedaya ataupun terikut-ikut dengan budaya-budaya yang kurang elok ataupun fahaman-fahaman yang mungkin bukan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kita amalkan di negeri Sabah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis meraikan pelajar Sabah yang akan berlepas ke Mesir bagi melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dan Ma’had Qiraat Shubra, Al-Azhar.

Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin bagi mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Ramlan berkata, MUIS turut memastikan kebajikan pelajar Sabah di Mesir mendapat perhatian menerusi pemantauan berterusan bagi membantu mereka menghadapi sebarang keperluan sepanjang tempoh pengajian.

Katanya, pelajar yang tiba di Kaherah akan disambut oleh pelajar senior Sabah yang berada di sana selain dibantu pegawai yang ditugaskan menjaga kebajikan mereka.

“Di sana kita juga ada pegawai-pegawai yang memang ditugaskan untuk menjaga kebajikan mereka.

“Begitu juga dengan pelajar-pelajar senior dan Persatuan Mahasiswa di Al-Azhar yang boleh membantu sekiranya terdapat sebarang permasalahan,” katanya.

Menurutnya, Bahagian Pendidikan MUIS juga sentiasa memastikan keperluan pelajar yang sedang mengikuti pengajian di luar negara dapat diusahakan dan diselesaikan secepat mungkin.

Beliau berkata, pendekatan itu penting supaya sebarang masalah berkaitan kebajikan atau keperluan pelajar tidak menjejaskan semangat mereka untuk meneruskan pengajian.

“Kita mahu mereka bersemangat belajar supaya bila balik ke Sabah nanti boleh membawa ilmu dan pengalaman masing-masing untuk diajar pula kepada rakyat di negeri Sabah kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, MUIS pada tahun ini menghantar pelajar ke Mesir bagi mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang termasuk Usuluddin dan Qiraat, berdasarkan tawaran pengajian yang diterima masing-masing.

Setakat sesi 2025/2026, kira-kira 96 pelajar Sabah berada di Al-Azhar sebelum kemasukan pelajar baharu menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 124 orang.

Selain Mesir, kira-kira 15 pelajar Sabah turut mengikuti pengajian di Jordan.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Sampai Bilakah Rakyat Sabah Harus Menunggu Hak 40% Dilaksanakan ?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular